Kami bersolidariti bersama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil
yang merupakan Presiden, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)
yang kini dikenakan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi fitnah
berjumlah RM1 juta oleh kerajaan negeri Pahang.
Puan Sri Shariffa telah lantang bersuara dan mengkritik kerajaan
negeri Pahang berhubung dakwaan kegiatan pembalakan, salah guna kuasa dan
rasuah yang berleluasa di negeri itu sehingga menjadi punca berlakunya bencana
banjir di Pahang pada Disember 2021.
Kerajaan negeri Pahang kini menuntut permohonan maaf terbuka
dibuat oleh Puan Sri Shariffa dalam tempoh 14 hari sejak notis tuntutan
diterima pada 8 Februari.
"Saya akan lawan mereka di mahkamah," adalah jawapan
ringkas Puan Sri Shariffa.
Saban hari, terdapat ramai aktivis alam sekitar dan komuniti
akar umbi yang ditekan, diugut dan diintimidasi kononnya atas alasan
"menggugat kestabilan kerajaan", "fitnah" dan "berita
palsu" bagi mendiamkan suara rakyat. Segala hal teknikal dan undang-undang
ditunggang dan dimanipulasi oleh pihak berkuasa tirani untuk menekan suara
aktivis.
Ditambah pula, sejak akhir-akhir ini ramai aktivis wanita sering
ditekan dan dibuli oleh pihak berkuasa, ahli politik dan penyokong mereka.
Dalam masa yang sama, segala maklumat tentang perjanjian
pengurusan hutan, alam sekitar dan pemberian lesen projek telah tertakluk di
bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, tidak boleh diakses oleh orang awam, dan akan
sesiapa yang membocorkannya akan diambil tindakan, sekaligus membuatkan orang
awam tidak mempunyai hak untuk bersuara ke atas alam sekitar mereka.
Kemusnahan hutan di Malaysia semakin melampau, sehingga membawa
kepada bencana dan malapetaka. Rakyat harus bangun menentang segala kerakusan
ini dan berdiri bersama-sama kami dalam menegakkan keadilan untuk rakyat dan
alam sekitar.