JAMZURI ARDANI
Dulu bila dengar ustaz cerita pasal Perang Uhud, kita
dibayangkan bahawa Ar Rasul SAW meletakkan pasukan pemanah di atas Bukit Uhud.
Kemudian pasukan pemanah itu turun dari Bukit Uhud kerana mengejar ghanimah
setelah pasukan musuh lari meninggalkan medan perang. Lalu pasukan berkuda
tentera Mekah yang dipimpin oleh Khalid Al Walid mengelilingi Bukit Uhud dan
menyerang tentera Islam dari belakang.
Tetapi bila melihat secara terperinci peta medan peperangan
tersebut barulah kita faham bahawa pasukan pemanah tersebut bukanlah diletakkan
di puncak Bukit Uhud, tetapi sebenar mereka diposisikan di atas Jabal Rumah
iaitu sebuah bukit kecil di hadapan Bukit Uhud, manakala pasukan tentera Islam
berpengkalan di kaki Bukit Uhud.
Bukit Uhud itu sendiri adalah banjaran bukit yang agak besar
yang panjangnya sekitar 10km. Tebingnya curam berbatu. Jadi, untuk mengelilingi
Bukit Uhud ia akan mengambil jarak perjalanan sekitar 30km.
Sekiranya pasukan berkuda Khalid Al Walid mengelilingi Bukit
Uhud ketika itu, ia pasti akan mengambil masa melebihi 5 jam dan ianya agak
tidak logik. Sekiranya diandaikan pasukan Khalid Al Walid mengambil jalan
pintas merentasi Bukit Uhud juga agak tidak munasabah dengan keadaan permukaan
bumi Bukit Uhud yang curam dan berbatu.
Saya lebih cenderung mengambil pandangan bahawa tentera berkuda
Khalid Al Walid menyerang tentera Islam dari belakang dengan mengelilingi Jabal
Rumah, dan bukannya dengan mengelilingi Bukit Uhud.
Sekiranya Khalid Al Walid mengelilingi Bukit Uhud, beliau hanya
akan tiba semula ke medan tempur setelah peperangan tamat dan tentera Islam
sudah selamat pulang ke Madinah.