Johor bangkit dengan 3 teras utama - Dr Maszlee





Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, Johor memiliki potensi yang sama seperti di Selangor dan Pulau Pinang. Cuma yang tidak dimilikki adalah pemimpin yang bersih, telus dan kreatif lagi bijaksana.


"Apa yang ada di Johor tidak kurang dengan apa yang ada di selangor juga Pulau Pinang.


"Penang dan Selangor ada pelabuhan, Johor pun ada. Pertanian, kita ada, insdustri kita ada, tenaga kerja kita ramai. Kedudukan pula strategik berjiran dengan negara yang termaju dan termoden di rantau ini, iaitu Singapura.


"Tetapi persoalannya setelah kita merdeka begitu lama mengapa Johor tidak setanding Selangor. Tidak semaju Penang walaupun kita memiliki segala sumber?


"Puncanya satu, kepimpinan yang tidak layak, tidak cekap dan amanah," katanya dalam program Santai Anak Muda, semalam.


Justeru, Dr Maszlee meletakkan 3 teras utama untuk memajukan Johor dengan penglibatan modal dan teknologi dari Singapura.


"Bagi saya kita letakkan 3 teras utama untuk letakkan Johor di mata dunia. Datuk Seri Presiden dalam jelajahnya sering menyebutkan potensi Johor yang strategik. Sejarah Johor yang panjang memungkinkan kita kembali menjadi pemain antarabangsa dalam bidnag ekonomi dan pendidikan.


"Kita mampu kerana kita lihat ramai orang Johor berkerja di Singapura, sepatutnya pemindahan teknologi telah lama berlaku.


"Sepatutnya kita bukan hanya menjadi pembekal kepada mereka, sepatutnya kita jadi rakan strategik. Kenapa ini tidak berlaku?


"Sama ada tidak ada political will atau tidak ada kerajaan yang bersih," katanya.


Dr Maszlee berkata, sekiranya PH diberi mandat maka pelaburan akan lebih banyak ditarik masuk dan anak anak Johor akan dilatih oleh pihak indusri untuk jaminan pekerjaan.


"Keyakinan pelabur hanya akan pulih jika kerajaan negeri bersih. Jikalau kepimpinan ada rekod bersih dan rekod pencapaian. Tenaga kerja mahir yang perlunya kepada pendidikan. Kita mahu mereka dilatih oleh industri sendiri.


"Pihak industri melatih siswa kita sewaktu mereka belajar di institut latihan. Terutama industri dari Jerman. Penang telah tunjuk usaha yang cemerlang.


"Kedua, penguasaan terhadap teknologi Revolusi Industri 4.0 dan bahasa Inggeris


"Terbukti yang fasih berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat kerja.


Tekad ketiga kita untuk persepadanan kerja. Kita pergi Johor Bahru kita dapati yang kerja di kedai serbaneka banyak granduan, berkelulusan tinggi tetapi terpaksa kerja apa yang ada. Akhirnya mereka dibayar gaji yang rendah. Ini perlu diperbaiki," kata Maszlee lagi.