ZAMAN MAHATHIR DULU CAM GINI LAH..TAPI BIASANYA PEMERINTAH TAKUT SANGAT GAYANYA...NAK BERHIMPUN JA PUN...

 

Himpunan #TangkapAzamBaki, polis lencong trafik, tutup sementara stesen kereta api esok




Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata, polis melakukan lencongan laluan trafik di beberapa jalan utama di sekitar Kuala Lumpur, berkuat kuasa 7 pagi, esok.

KUALA LUMPUR: Polis melakukan enam lencongan di sekitar Kuala Lumpur sebagai persediaan menghadapi protes jalanan terhadap Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, esok.

Lencongan berkenaan meliputi Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, dalam sidang medianya berkata, lencongan itu berkuat kuasa pada 7 pagi, esok.

Katanya, beberapa stesen kereta api, LRT dan MRT di kawasan berkenaan juga akan ditutup sementara.

“Kami belum menerima pemakluman rasmi berhubung perhimpunan itu seperti dikehendaki mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Penunjuk perasaan #TangkapAzamBaki membabitkan kumpulan masyarakat sivil dan sayap Pemuda pembangkang daripada pelbagai parti dijangka turun bagi menyatakan bantahan terhadap Azam. Mereka dijadual berkumpul di pusat beli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 11 pagi, esok.

Berikut beberapa stesen yang dijangka ditutup sementara;

  • LRT Ampang Line/Sri Petaling Line – Pudu, Hang Tuah, Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Bandaraya, Sultan Ismail
  • LRT Kelana Jaya Line – Kampung Baru, Dang Wangi, Masjid Jamek, Pasar Seni
  • MRT Sg Buloh- Kajang Line – Bukit Bintang, Merdeka, Pasar Seni
  • Monorail – Medan Tuanku, Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang, Imbi, Hang Tuah, Maharajalela, Tun Sambanthan, KL Sentral
  • KTM – Kuala Lumpur, Bank Negara, Putra

Noor Dellhan ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya memberi amaran supaya orang awam tidak terbabit dalam perhimpunan berkenaan, selain mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba berhimpun.

“Mahkamah sudah mengeluarkan perintah membenarkan polis menyekat sesiapa sahaja yang mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek,” katanya sambil menambah perintah mahkamah itu berlangsung selama tujuh hari.

Katanya, seramai 1,010 anggota polis akan digerakkan ke lokasi perhimpunan sekiranya penunjuk perasaan berkumpul.

Noor Dellhan berkata, seramai 16 individu sudah dipanggil polis berhubung perhimpunan berkenaan, namun belum mengenalpasti pihak penganjur sebenar.