PETALING JAYA: Jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon dilantik sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, menggantikan Tan Cheng Ho, lapor Bernama.
Kim sebelum ini adalah bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA).
Presiden FAM Hamidin Mohd Amin berkata jurulatih berusia 52 tahun itu, akan melapor diri pada pertengahan Februari, dengan kontrak selama dua tahun dan pilihan tambahan dua tahun lagi.
Beliau berkata Pan Gon yang menjadi pengendali pertama dari Korea Selatan dilantik ke jawatan itu sejak 1963, akan membawa empat staf kejurulatihan sendiri, terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan dan penjaga gol serta penganalisis.
“Selepas menerima permohonan dari seluruh dunia, kita mendapati beliau (Kim) merupakan calon terbaik, dan antara kriteria pemilihan adalah pemahamannya mengenai bola sepak Malaysia, pernah melatih pasukan kebangsaan, mempunyai rangkaian antarabangsa, tahu siapa musuh Malaysia, maksudnya kita bermain di ASEAN dan Asia, jangkaan kita.
“Jika FAM berpuas hati dengan prestasinya untuk dua tahun ini, kita akan sambung (kontrak) untuk dua tahun lagi, tentunya nak layak ke Piala Asia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di sini, hari ini.
Kim yang pernah beraksi bersama kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors di Korea Selatan pada era 1990-an, memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan kembali ke Hong Kong (2012-2017).
Beliau menggantikan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Jan lalu dengan mengambil tanggungjawab susulan prestasi hambar pasukan Harimau Malaya di Singapura, yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020.Hamidin bagaimanapun, menegaskan bahawa pelantikan jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah skuad Harimau Malaya secara keseluruhan.
“Jadi kita mahu mengadakan perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kelab di Liga Malaysia menghasilkan pemain yang berkualiti,” katanya.
Pada sidang media itu, Hamidin turut mengumumkan peletakan jawatan Mohd Yusoff Mahadi sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.Mengenai desakan di media sosial agar Hamidin meletak jawatan berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2020, Presiden FAM itu berkata beliau masih mempunyai banyak tanggungjawab untuk diselesaikan, selaku pemimpin badan induk bola sepak negara itu.