PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, berkata gabungan parti itu bersedia memberi peluang kepada calon muda untuk bertanding mewakili parti berkenaan, pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Anwar berkata, pihaknya akan mendapatkan cadangan daripada PH Johor, berkaitan calon secara keseluruhannya yang akan bertanding nanti.
“Saya beritahu kaedahnya, calon itu mestilah kuat, berpengalaman, muda dan (merangkumi) wanita kemudian cuba merangkumi semua parti (komponen).
“Memang akan ada calon muda dalam kalangan pimpinan muda, tetapi semua calon yang bertanding perlu merangkumi wanita dan pimpinan lama…ia tidak boleh semuanya calon muda,” katanya kepada pemberita selepas program sembang santai bersama anak muda di sebuah restoran di sini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberikan kebebasan mutlak pada PRN kali ini, kerana kekuatan PH adalah dengan strategi bertemu rakyat.
Sementara itu Anwar berkata, strategi PH bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi bertanding PRN Johor, dilihat mampu menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Anwar yang juga Presiden PKR, berkata pembangkang boleh bekerjasama dalam satu pasukan untuk PRN Johor, sekiranya masing-masing konsisten menolak beberapa isu, termasuk salahguna kuasa dan penyelewengan.
“Kami beri laluan kepada pemimpin Umno untuk mentadbir Johor walaupun dengan satu majoriti, kami katakan kami tidak ganggu supaya tumpu kepada soal Covid-19 dan banjir, tetapi mereka anggap punya kekuatan untuk dapat majoriti besar.
“Mereka nak tumpu pilihan raya, jadi kami kata kami ada strategi untuk tumbangkan mereka. Kami terpaksa lawan dan kami akan lawan dengan segala kekuatan dan strategi, yang memungkinkan mengalahkan mereka,” katanya.
Media hari ini, melaporkan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan hasrat PH untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi PRN Johor, hanya akan mengulangi formula kegagalan kerajaan PH selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.