Oleh: Hassan Abdul Karim
Kerajaan Ismail Sabri Yaakob terselamat semalam 18 November 2021 di
Parlimen dalam pengundian peringkat dasar Belanjawaan 2022. Ini berlaku kerana
gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada KEADILAN, DAP,
Amanah dan UPKO tidak menyokong undi belah bagi.
Ini membolehkan Belanjawaan 2022 tersebut diluluskan melalui
kelebihan undi suara. Episod semalam di Parlimen memperlihatkan PH memegang
pada janjinya terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) untuk tidak mempersulitkan
Kerajaan YAB Bera dalam meluluskan Belanjawaan Negara.
Skandal hadiah tanah
Tiba-tiba semalam di Parlimen meletup satu isu bom jangka yang
dipasang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Keempat dan
Ketujuh serta Ahli Parlimen Langkawi. Isunya ialah berkenaan kelulusan Kabinet
menganugerahkan sebidang tanah di Ibukota Kuala Lumpur dan sebuah rumah yang
akan dibina bernilai RM100 juta ringgit.
Perkara panas yang bersifat skandal itu terdedah ketika Menteri
Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menggulung perbahasan di peringkat
Kementerian Kewangan sebelum proses pengundian dijalankan.
Jika di zaman Presiden Richard Nixon di Amerika Syarikat wujud
skandal pengintipan yang dipanggil Watergate yang akhirnya membawa kejatuhan
Nixon sebagai presiden, maka di Indonesia pula pernah berlaku di zaman Presiden
keempat Indonesia Kiai Haji Abdulrahman Wahid atau Gus Dur yang dilibatkan
dengan skandal Bulogate dan Bruneigate yang antara lainnya menjadi penyumbang
kecil kejatuhan intergriti Gus Dur dan berkesudahan membawa tumbangnya Presiden
yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Indonesia tersebut.
Maka kini di Malaysia, Perdana Menteri Kesembilan, Ismail Sabri
Yaakob sedang berhadapan satu isu yang boleh mengheret kerajaannya menjadi satu
skandal tanah yang boleh diberi jolokan Tanahgate yang akan menggocang kerajaan
Persekutuan Malaysia jika tidak ditangani dengan baik.
PH akan kaji MoU berikutan
Tanahgate
Semalam 18 November, belanjawan 2022 Kerajaan Ismail Sabri Yaakob
baru melepasi undian di peringkat dasar sahaja. Belum lulus sepenuhnya.
Belanjawaan tersebut akan memasuki perbahasan peringkat jawatankuasa bermula
Isnin depan 22 November 2021. Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Ketua
Pembangkang di Parlimen, Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kedudukan
Memorandum Persefahaman antara PH dengan Kerajaan akan dikaji semula bersabit
dengan keputusan kerajaan untuk memberi hadiah RM100 juta dalam bentuk tanah
dan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Jika Perdana Menteri tidak tampil kedepan memberi penjelasan yang
lengkap dalam skandal “Tanahgate” ini ada besar kemungkinan PH tidak akan
menyokong lagi Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa nanti.
Jika ini berlaku di mana pengundian secara belah bagi dituntut dan
Belanjawaan 2022 tidak dapat diluluskan kerana tewas di peringkat pengundian
terakhir sebelum bacaan ketiga maka natijahnya amat besar iaitu kerajaan Ismail
Sabri Yaakob hilang keabsahan dan terpaksa seluruh kabinetnya termasuk Perdana
Menteri terpaksa meletakkan jawatan.
Demikian konvensi amalan demokrasi berparlimen.
Teliti semula hadiah Najib
Jadi isu “Tanahgate” ini yang bernilai RM100 juta dalam bentuk
hartanah, iaitu sekeping tanah dan sebuah rumah untuk dihadiahkan oleh kerajaan
Ismail Sabri Yaakob kepada Najib Razak perlu diteliti dengan waras dan
rasional, demi berlaku adil kepada semua pihak, iaitu kepada Kerajaan yang ada
sekarang, kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, dan juga kepada rakyat
Malaysia keseluruhannya.
Antara soalan yang perlu mendapat penjelasan dari pada kerajaan
adalah sepeti berikut:-
1. Apakah punca kuasa atau Undang-Undang yang membolehkah kerajaan
yang ada mengurniakan tanah dan rumah kepada bekas Perdana Menteri?
2. Adakah Kerajaan telah merujuk kepada Peguam Negara, satu
persoalan iaitu, bolehkah bekas Perdana Menteri yang telah dijatuhkan hukuman
penjara dan denda oleh Mahkamah Tinggi dan sabitan kesalahan itu masih kekal
belum diketepikan berhak mendapat sebarang anugerah atau hadiah daripada
kerajaan dalam bentuk tanah dan rumah dikatakan berjumlah sehingga RM100 juta?
3. Apakah benar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi
telah dikurinakan oleh kerajaan dalam bentuk tanah dan rumah bernilai lebih kurang
RM75 juta?
4. Bilakah amalan memberi hadiah tanah dan rumah kepada bekas
Perdana Menteri dimulakan? Adakah Bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh,
Tun Dr Mahathir Mohamad telah diberi tanah dan rumah?
5. Kembali persoalan kepada hadiah yang akan diberi kepada Najib
Razak. Berapa luaskah tanah yang akan dikurniakan kepada Najib Razak? Adakah
benar tanah itu adalah tanah milik kerajaan?
6. Adakah kerajaan telah membuat penilaiaan terhadap tanah
tersebut?
7. Adakah Kerajaan telah membuat keputusan muktamad atau hanya
baru keputusan di peringkat prinsip sahaja berkenaan pemberian tanah dan rumah
kepada Najib Razak?
PM jangan tercalar skandal
Pada pandangan saya, jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob
sayang kepada kerajaannya supaya tidak tumbang di pertengahan jalan, maka ada
baiknya jangan serahkan perkara ini ditangani oleh Menteri Kewangan Tengku
Zafrul Abdul Aziz.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang kelihatan bersih dan
telus harus tampil ke depan menyelesaikan skandal “Tanahgate” ini supaya nama
baik Perdana Menteri sendiri tidak tercalar dan tercemar kerana terpalit dengan
isu tanah dan rumah yang berlumpur dan beracun ini.
Elakkan nasib yang pernah terjadi kepada Presiden Nixon dengan
Watergatenya dan Presiden Gus Dur dengan Bulogate serta Bruneigatenya supaya
tidak berlaku pula kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Jika tidak ada penjelasan yang memuaskan diberikan oleh Perdana
Menteri di Parlimen pada minggu depan, sebelum pengundian peringkat akhir dan
muktamad dilakukan terhadap Belanjawaan 2022 terdapat kemungkinan yang besar
ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan akan membuat penilaian semula terhadap
Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Ismail Sabri Yaakob.
Amatlah sedih dan malang Belanjawan besar bernilai lebih RM300
bilion ringgit yang dirangka dengan tujuan untuk pemulihan negara dari segi
kesihatan dan ekonomi digagalkan angkara Skandal “Tanahgate” bernilai RM100
juta diluar peruntukan Belanjawan 2022 semata-mata untuk memberi hadiah kepada
seorang bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan bersalah dan dihukum
penjara 12 tahun serta denda dalam pertuduhan jenayah di Mahkamah.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen
Pasir Gudang