Najib Razak akhirnya membuat keputusan menarik balik permohonan mendapatkan rumah bernilai RM100 juta di sebuah kawasan eksklusif di ibu negara atas kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri.
Dua alasan diberikan atas tindakan tersebut – mengambil kira keadaan rakyat sekarang yang berdepan saat sukar dan untuk mengelakkan isu tersebut menjadi bahan dalam PRN Melaka.
Keutamaan saya adalah rakyat, tambah Najib lagi ketika mengumumkan keputusannya itu.
Benarkah begitu?
Meskipun Najib menarik balik permohonannya itu, hakikat yang terbentang di depan mata ialah ia tidak sama sekali menukar wajahnya kepada seorang yang benar-benar seikhlas hati berjiwa rakyat.
Beliau menarik balik permohonannya itu semata-mata gelombang bantahan rakyat yang kuat dari segenap penjuru serta kerana adanya PRN Melaka yang pengundiannya akan berlangsung esok, bukan disebabkan sepanjang masa dalam hatinya ada rasa prihatin kepada rakyat.
Kalau Najib seorang yang sentiasa memikirkan rakyat, beliau daripada awal lagi tidak memohon rumah kediaman semahal itu untuk dirinya, meski atas kapasiti sebagai bekas Perdana Menteri sekali pun.
Lagi pula, bukannya Najib tiada rumah langsung untuk diri dan keluarganya.
Maka, sebab sebenar beliau menarik balik permohonan itu ialah kerana takut BN kalah dalam PRN Melaka.
Jika tiada PRN Melaka, apakah Najib akan menarik balik permohonannya itu?
Seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat, keprihatinannya kepada rakyat bukan sewaktu ada PRN Melaka saja, bahkan sepanjang masa.
Seorang pemimpin yang jiwa membela rakyatnya tebal dalam hati juga sama sekali tidak akan memohon kediaman semahal dan semewah itu walau dalam apa keadaan sekali pun, tambahan lagi jika menyedari dirinya sudah pun dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah.
Daripada mengambil semua kemudahan itu, bagi seorang pemimpin yang ikhlas berjiwa rakyat, lebih wajar wang peruntukan tersebut dipulangkan semula kepada rakyat yang lebih memerlukan.
Dengan wang RM100 juta, macam-macam boleh dibelanjakan untuk rakyat susah, pelajar miskin dan sebagainya.
Adakah ketika Najib mengemukakan permohonan untuk mendapatkan rumah itu, pernah terlintas dalam hatinya tentang nasib dan derita rakyat?
Atau beliau hanya memikirkan untuk menambah lagi jumlah kediaman yang dimilikinya?
Untuk itu, meskipun Najib menarik balik permohonannya itu, rakyat mesti terus menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan melalui PRN Melaka ini.
Ia tidak lain dengan pengundi Melaka mesti terus menolak UMNO dan memastikan BN tidak menang dalam pengundian yang diadakan pada hari esok.
Kalau boleh, biarlah BN kalah terduduk di Melaka ini.
Bukan apa, jika BN tetap juga diberi undi dan diberi laluan menang dalam PRN Melaka, dibimbangi selepas ini permohonan baru untuk memiliki rumah yang sama akan dikemukakan semula.
Tambahan pula, berdasarkan alasan Najib sendiri yang mengatakan keputusan itu diambilnya kerana tidak mahu isu tersebut dijadikan bahan dalam PRN Melaka, dengan sendirinya menyerlahkan hakikat penarikan balik permohonan itu hanya bersifat sementara, bukan keputusan selama-lamanya, jauh sekali menggambarkan tindakan yang lahir daripada lubuk jiwanya. –
ShahbudinHusin 19/11/2021.