Oleh SITI NUR ZAWANI
MISCON / November 19, 2021
Firma penyelidikan Ilham
Centre menjangkakan kemenangan buat Pakatan Harapan (PH) di Melaka jika kadar
keluar mengundi melebihi 80 peratus.
Pengarah Eksekutif Ilham
Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, dengan hitungan mudah, PH mempunyai
peluang memenangi Melaka sekiranya momentum PRU-14 kembali berulang dengan
peratusan keluar mengundi yang tinggi.
Dengan itu katanya, PH
akan menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang
maksima.
“Dua faktor PH berpeluang untuk
menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya
memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN.
“Jika
dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang,”
katanya dalam Laporan Ringkasan Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya
Negeri Melaka 2021.
Selain
Hisomuddin, laporan turut disediakan oleh panel penyelidikan Ilham Centre yang
terdiri daripada Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd
Azlan Zainal; Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim; Fello Penyelidik
Prof Madya Dr Yusri Ibrahim dan Felo Penyelidik, Prof Madya Dr Hamidin Abd
Hamid.
Menurut
laporan itu juga, PH akan berjaya memperoleh 15 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) dengan majoriti tipis membentuk kerajaan.
Namun
seandainya hilang mana-mana faktor di atas, sukar buat PH untuk mengulangi
pencapaian terbaik mereka.
Sementara itu, Ilham
Centre mengenalpasti 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi Barisan
Nasional (BN) iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai
Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim.
Adly menunjukkan sikap penuh keyakinan ketika ditemubual oleh
Utusan.
Manakala PH pula selesa
di tujuh kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang,
Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Bagaimanapun terdapat 10
kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara
calon, kata firma tersebut.
10 kawasan itu ialah
Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya,
Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek.
“PH perlu mempertahankan
kawasan yang dimenangi mereka dahulu agar tidak terlepas kepada BN mahupun PN.
“BN perlu mencari
sekurang-kurangnya 4 DUN tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk
melengkapkan majoriti mudah bagi memimpin Melaka.
“PN pula mempunyai
peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban. Faktor
kebolehmenangan PN di kawasan ini adalah faktor calon yang berjaya mengimbangi
kekuatan calon BN ataupun PH,” katanya lagi.
Hasil kajian juga mendapati bahawa semakin besar PN mencuri undi Melayu di 10 kawasan tersebut, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan 3 penjuru.