TUMPUAN
umum kini kepada pilihan raya negeri (Pirane)
Melaka. Pirane Melaka kali ini
adalah yang ke-15 sejak
Merdeka. Ia berbeza dengan pilihan raya sebelum ini,
yang
selalunya diadakan serentak bersama pilihan raya umum
kebangsaan. Jadi
pilihan raya kali ini hanya membabitkan
pemilihan wakil rakyat di 28 kerusi Dun
sahaja, tidak
termasuk kerusi parlimen.
Hari ini adalah hari penamaan calon dan hari pengundian 20
November. Proses penamaan calon sudah pun selesai. Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 112 calon yang
bertanding dalam pilihan raya itu, di mana sebahagian besar kerusi berlaku
pertandingan tiga penjuru antara komponen BN, PH dan PN.
Walaupun ada penyertaan beberapa calon bebas dan parti lain, ia seperti tidak
penting.
Piliharanaya itu
diadakan apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka dibubarkan pada 4
Oktober lalu. Pembubaran dibuat atas perkenan Yang diPertuan
Melaka Mohd Ali Rustam setelah menerima nasihat bekas ketua
menteri Sulaiman Md Ali.
Sulaiman menasihat Ali Rustam agar membubarkan Dun Melaka bagi
mengelakkan pembangkang (PH) menubuh kerajaan. Walaupun tindakan Ali itu
dipertikaikan sampai dibawa ke mahkamah, (lusa akan diputuskan apakah
pembubaran itu berperlembagaan atau tidak) namun pilihan raya diteruskan juga
seperti mana kehendak perlembagaan.
Ada mempersoalkan tindakan Ali itu tidak bijaksana dan motif
politik? Boleh jadi Ali bersedia membubar Dun Melaka atas perkiraan ia akan
menguntungkan BN dan memberi kemenangan kepada partinya, Umno. Ali Rustam
adalah bekas ketua menteri Melaka di zaman BN.
Kunci menyebabkan Dun Melaka dibubarkan dan pilihan raya baru
diadakan, apabila empat orang Adun terdiri daripada dua wakil Umno, Idris
Haron (Sungai Udang) bersama Nor Azman Hassan (Pulau
Kundor) serta Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Nor Effandi (Bersatu
- Telok Mas) menarik diri daripada menyokong kerajaan BN. Dengan penarikan
sokongan mereka itu menyebabkan BN hilang majoriti, tumbang.
Sebelum BN membentuk kerajaannya, Melaka diperintah oleh PH yang
mendapat mandat rakyat melalui Piraum ke-14. Apabila berlaku penarikan sokongan
empat Adun itu PH bercadang untuk menubuh kerajaanya kembali. Bagaimana pun
impian itu tidak sempat tercapai dihalang dengan pembubaran Dun.
BN dahulu berjaya menumbangkan kerajaan PH apabila tiga Adun
yang sebelum ini mewakili DAP (Norhizam Hassan Baktte), Keadilan (Muhammad
Jailani Khamis - Rembia) dan Bersatu (Rafiq Naizamohidden (Paya Rumput) dan Nor
Effandi Ahmad -(Telok Mas) menyeberang bersama BN. Dengan penyeberangan mereka
itu BN bentuk kerajaan dengan kelebihan 17 suara.
Pilihan raya unik.
Pilihan raya Melaka kali ini sedikit unik dan agak asing bukan
sahaja kerana ia tidak seperti selalunya, tetapi diadakan dalam norma baru
waktu negara masih diancam pandemik Covid-19. Ramai yang tidak terfikir pilihan
raya itu boleh diadakan. Mereka yang putih dengan politik tidak mengira SPR
sedia mengadakan pilihan raya.
Walaupun begitu apa yang tidak terfikir itu, difikir oleh orang
politik. Pilihan raya itu seperti sengaja diadakan untuk memberi peluang kepada
Umno menunjukkan kekuatannya serta mengembalikan semula kerajaan yang hilang
dan sekaligus menghalang PH membentuk kerajaannya semula. Ada munasabahnya
kalau pilihan raya itu disengaja diadakan memandangkan ada hubungan sentimental
antara TYT dengan Umno.
Disebabkan keadaan pandemik masih belum reda, menyebabkan timbul
persoalan apakah pilihan raya itu akan mendapat perhatian pengundi atau
tidak? Ada kemungkinan pengundi bimbang untuk keluar mengambil bahagian
memandangkan keadaan semasa, Covid belum habis. Peraturan dan SOP yang
dikenakan sedikit sebanyak menyebabkan pengundi malas untuk keluar mengundi.
Apa yang berlaku di Sabah dahulu boleh menghantui mereka.
Sewaktu negeri di bawah Bayu itu mengadakan Piranenya menyebabkan berlaku
penularan Covid yang dahsyat. Kejadian itu turut disinggung sama oleh negara
luar, di mana pihak di Singapura mencatatkan penularan Covid di Malaysia
gara-gara Pirane Sabah itu.
Walaupun ada SOP ketat sepanjang pilihan raya itu, tetapi tidak
dapat dijamin ia mampu membendung wabak berkenaan yang sukar untuk dihapuskan.
Justeru timbul persoalan oleh sesetengah pihak apakah Pirane itu akan menerima
kesan tersendiri, seperti kurangnya peratus keluar mengundi. Sekiranya peratus
keluar mengundi ia akan memberi kesan tidak langsung kepada mana-mana
kumpulan (parti) mengambil bahagian.
Kebiasaannya dalam pilihan raya kecil sekiranya peratus mengundi
kecil ia tidak akan memberi kebaikan buat pembangkang. Dan sekiranya
peratus keluar mengundi rendah bolehlah dianggap pilihan raya itu tidak
memuaskan.
Pirane Melaka itu mempunyai beberapa signifikan dan ada
implikasi tersendiri kepada berbagai pihak. Ia juga akan merumuskan beberapa
perkara baru yang mungkin boleh diguna pakai untuk pilihan raya yang akan
datang sebagai panduan. Situasi ini menjadikan pilihan raya itu sebagai medan
untuk melihat sesuatu yang baharu dalam sistem politik demokrasi negara
ini.
Pertama, ia akan menjadi indikator kepada Piraum akan datang.
Keputusan pilihan raya itu nanti akan dijadikan pedoman dan formula kepada
parti-parti politik terbabit. Dalam pilihan raya itu berlaku pertanding tiga
penjuru BN, PH dan PN. Keputusan dengan percubaan pembentukan tiga gabungan itu
akan dibawa ke Piraum akan datang.
Justeru
pilihan raya itu akan memberi jawaban secara langsung kepada Umno dan Pas yang
sebelum ini beriya-iya untuk bekerjasama, berakhir dengan berlawan antara satu
sama lain. Pas telah meletakkan tujuh calonnya sebagai menentang calon BN.
Tindakan itu menjadikan Muafakat Nasional yang digagaskan demikian rupa tidak
berjaya. Pas memilih untuk bersama Bersatu menerusi PN walaupun dalam masa sama
mengakui mempertahankan BN.
Tidak
sah lagi sekiranya PN berhasil memenang beberapa kerusi dalam Pirane itu,
walaupun tanpa dapat membentuk kerajaan kemungkinan Pas akan kekal bersama
Bersatu dan tidak dengan Umno.
Sebaliknya
kalau BN berjaya membentuk kerajaan, Pas tidak akan malu-malu untuk berpaling
semula dengan Umno dengan memetik pelbagai hadith dan ayat-ayat Quran untuk
menjustifikasi tindakan rujuknya. Jangan pelik dan harian dengan politik klu
klik Pas. Soalnya BN akan terima atau tidak tidak dapat dipastikan.
Tetapi yang nyata Pas boleh melakukan dan bertindak demikian kerana ia
mengamalkan politik "tidak tahu malu?"
Sebaliknya
sekiranya Pirane Melaka itu dimenangi PH dan dapat membentuk kerajaan, mungkin
BN, PN atas usaha Pas akan membawa mereka ke titik temu semula untuk menghadapi
PH dalam pilihan raya umum akan datang. Kemenangan PH memberi rahmat buat
mereka.
Bagi PH
pula kemenangan itu menjadi tanda jelas bahawa rakyat bersedia memberi peluang
kepada mereka untuk memimpin Malaysia. Kemenangan kepada PH juga memberi
semangat kepada mereka untuk terus bersolidariti bagi menghadapi pilihan raya
umum ke-15. Kemenangan itu juga tanpa ada wave dan pengaruh Dr
Mahathir Mohamad seperti Piraum ke-14 dulu menunjukkan yang PH sebenarnya
mempunyai pengaruh yang mencukupi.
Kedua,
disebabkan pilihan raya ini dijalankan dengan peraturan khas (SOP) bagi
mencegah Covid, maka tidak ada kempen terbuka, baik himpunan atau rumah ke
rumah seperti biasa. Sekatan ini secara tidak langsung boleh membendung
pemberian rasuah politik, wang dan barang keperluan. Ini satu langkah positif.
Kempen dibenarkan hanya boleh dilakukan menerusi media sosial
semata-mata.
Bagaimana
pun sekatan ini tidak memberi kesan baik kepada pembangkang kerana mereka sudah
pasti tidak dapat menggunakan media kerajaan seperti mana diberikan kepada
parti-parti kerajaan, BN dan PN. Parti kerajaan pasti akan mendapat liputan dan
ruang yang luas daripada alat propaganda kerajaan itu.
Bagaimana
pun dalam hal ini peluang itu tidak begitu kondusif buat BN dan PH kerana
mereka bertanding antara satu sama lain ini menyebabkan media kerajaan kekok
untuk melayan pihak mana. Inilah pula kebaikan buat pembangkang apabila PN dan
BN tidak bersama.
Ketiga,
beberapa signifikan lain akan terhasil daripada pilihan raya itu, sekiranya
peratus mengundi turun sehingga kurang 60%. Jika itu berlaku mungkin kerana
masalah Covid atau kerana ada protes daripada pengundi khususnya pengundi muda
dan golongan cerdik pandai yang sudah bosan dengan politik tidak bermoral
berlaku hari ini.
Fenomena
itu pasti akan terbawa ke dalam pilihan raya akan datang. Keadaan ini memberi
petanda buruk kepada sistem demokrasi negara ini di masa akan datang. Mungkin
ketika itu nanti, generasi muda akan mula membentuk dan membawa gerakan politik
mereka sendiri dan perlahan-lahan akan hilang kepercayaan kepada parti-parti
lama dan cara otai bermain politik. Atau pun mereka mulai keliru dan tidak
berminat untuk menyertai parti politik. [wm.kl.6:16 pm 08/11/2021]