Oleh FAZLI RADZI / November
9, 2021
Veteran Umno dilihat
berang dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung
penolakan parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu terhadap Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Setiausaha Umno
Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Mohd Yasin membidas Hadi yang juga
Ahli Parlimen Marang itu supaya usah menjadi burung tiung.
“Jangan pandai komen.
Umno tidak mahu kerjasama dengan Parti Bersatu.
“Kamu dahulukan contoh,
terima AMANAH jadi rakan strategi Pas. Baru kami dalam Umno akan berkerjasama
dengan parti Bersatu.
“Kamu harap serban
besar.. otak kosong,” tempelak Zaharin, 69, terhadap Hadi, 74, yang juga Duta
Khas ke Timur Tengah dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.
Zaharin Mohd Yasin
Pada 6 November lalu,
Pas mempersoalkan pendirian Umno menolak Bersatu sedangkan parti itu boleh
menjalinkan kerjasama dengan parti bukan Islam sebagai rakan komponen dalam BN.
Bercakap pada sidang
akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Pas ke-67 di
Terengganu, Hadi berkata, penolakan terhadap Bersatu tidak seharusnya berlaku
kerana sehingga kini Pas teguh bersama prinsip Muafakat Nasional (MN) yang mahu
bekerjasama dengan parti Melayu Islam serta parti bukan Islam yang tidak
ekstrem.
“Jika Umno boleh
bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam membentuk kerajaan, mengapa tidak boleh
bersama Pas dan Bersatu,” kata Hadi.
Dia
juga menyangkal dakwaan bahawa Pas melupakan MN selepas menyertai PN bahkan
menegaskan, asas penyatuan tiga parti Melayu iaitu Pas, Umno dan Bersatu
sehingga dapat membentuk kerajaan kerajaan Persekutuan wajar dipertahankan.
Walau
bagaimanapun, seperti gesaan Zaharin agar Pas menerima AMANAH sebagai rakan
strategi, parti diwakili 18 anggota Dewan Rakyat itu umum dikenali bermusuh
besar dengan AMANAH.
Bahkan,
pemimpin dan pengikut tegas Pas memanggil AMANAH sebagai PAN sejak parti itu
dilancarkan penubuhan pada 16 September 2015.