Susulan kejayaan cemerlang BN dalam PRN Melaka, UMNO terlihat cenderung mahu PRU15 diadakan dengan segera.
UMNO kini seolah-olah cukup yakin mereka mampu untuk memenangi PRU15 segemilang kejayaan yang telah dicapai BN di Melaka baru-baru ini.
Melihat sekali lalu kejayaan BN di Melaka itu memanglah ternampak rakyat sudah memihak kepada BN semula setelah menumbangkannya pada PRU tahun 2018 yang lalu.
Tetapi jika diteliti dengan lebih mendalam, sambil mengambil kira faktor-faktor lain, hakikatnya tidaklah semudah itu untuk UMNO kembali menjadi pilihan rakyat.
Baik PRU15 cepat atau dilambatkan, keputusan PRN Melaka belum boleh diambil kira sebagai ukuran untuk kejayaan dalam PRU15 akan datang.
Fakta-fakta di bawah adalah pertimbangannya.
Pertama, kalau dikira peratusan undi popular BN pada PRN Melaka baru-baru ini berbanding PRU14 lalu, peningkatannya cuma 0.5 peratus saja.
Pada PRU14, BN meraih undi popular sebanyak 37.5 peratus berbanding PH yang bertanding menggunakan lambang PKR memperolehi sokongan sebanyak 50.8 peratus.
Untuk PRN baru-baru ini, undi popular BN ialah sebanyak 38 peratus berbanding PH menurun kepada 35 peratus.
Ini bermakna, setelah lebih tiga tahun berlalu selepas PRU14, peningkatan sokongan BN hanyalah 0.5 peratus saja, sementara sokongan PH merosot dengan banyak iaitu 15 peratus kerana pengundi atas pagar dan pengundi luar lebih memilih untuk tidak keluar mengundi.
Persoalannya, apakah pengundi atas pagar dan pengundi luar masih mempunyai pertimbangan yang sama seperti di Melaka ketika PRU14 nanti?
Kedua, salah satu faktor BN lebih diterima ialah kerana dalam PRN Melaka ini ia telah menampilkan sekitar 85 peratus calon-calon muka baru yang bukan saja mempunyai kelayakan lebih baik, malah masih bersih daripada sebarang kekotoran dan pertuduhan di mahkamah.
Apakah dalam PRU15 nanti, jika ia diadakan dalam waktu terdekat ini dan di ketika Zahid Hamidi masih sebagai Presiden UMNO serta Najib Razak juga masih menonjolkan dirinya sebagai figura yang seolah-olah menguasai parti itu, maka calon-calon baru dapat ditonjolkan dengan peratusan yang besar sebagaimana dalam PRN Melaka?
Apakah tidak mungkin pemimpin lama dan kitar semula, malah sebahagiannya yang menjadi sebab BN kecuncang pada PRU 2018 dan pemimpin terbabit sendiri turut tewas dalam pilihanraya tersebut, terus terpilih lagi sebagai calon?
Begitu juga mereka yang tergolong dalam kluster mahkamah, sama ada masih dibicarakan, sudah dihukum atau dilepaskan tapi diragui cara bagaimana mereka itu dilepaskan, apakah turut akan dicalonkan untuk bertanding lagi?
Jika belum disabitkan apa-apa kesalahan, sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, hampir pasti Zahid Hamidi akan bertanding lagi dalam PRU15 ini, begitu dengan Najib yang walaupun sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah dan kesnya dalam proses rayuan, tapi oleh kerana tiada ketetapan muktamad beliau tidak boleh bertanding di ketika proses rayuannya belum diputuskan, maka pasti beliau juga mahu bertanding lagi.
Kalau calon-calon lama dan tua, malah sebahagiannya dilabel kluster mahkamah seperti Zahid Hamidi, Najib dan lain-lainnya misalnya masih diberi keutamaan UMNO untuk ditonjolkan sebagai calon, bolehkah dijamin pengundi akan membuat keputusan seperti di PRN Melaka?
Ketiga, PRN tidak sama serta jauh berbeza dengan PRU dan pengundi mempunyai pertimbangan yang berlainan antara memilih parti untuk menerajui kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
Isu seperti kediaman RM100 juta yang dipohon Najib atas kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri mungkin tidak begitu mempengaruhi sentimen pengundi di Melaka, tetapi belum tentu isu seperti itu atau skandal-skandal lain kalau ada, ditambah lagi jika ramai pemimpin kluster mahkamah diletakkan sebagai calon, ia masih mengekalkan sokongan pengundi kepada BN.
Apakah pengundi sedia memilih sebuah parti yang begitu tercemar dengan pilihan calon-calon yang meragukan untuk mentadbir negara ini?
Keempat, keadaan BN ketika ini hanya tinggal dianggotai empat parti saja lagi iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.
Jika UMNO merasakan, berdasarkan keputusan PRN Melaka, mereka boleh memperolehi semula mandat rakyat dengan mudah dalam PRU15, ini sudah tentu suatu pertimbangan yang salah.
Bukan saja salah kerana kekuatan empat parti itu tidak sepadan dengan hasrat untuk menang sekurang-kurangnya minimum 112 daripada 222 kerusi Parlimen, malah kedudukan pengundi bukan Melayu bersama kerusi campuran di bandar dan separa bandar yang diketahui tidak pro kepada kerajaan, semua ini bakal menambahkan lagi kesukaran BN dalam hasratnya mengejar kemenangan itu.
Kalau ketika dianggotai 13 parti pun BN boleh dikalahkan, apakah hanya dengan tinggal empat parti, kemenangan senang-senang boleh dicapai?
Hanya melihat pencapaian di Melaka, mimpi UMNO bahawa mereka mampu menjadi kerajaan semula melalui pintu depan, lalu mendesak agar PRU15 diadakan seberapa segera, ia tidak mustahil akhirnya adalah igauan ngeri yang berpunca kerana tidur malam terlupa membasuh kaki.
– ShahbudinHusin 23/11/2021.