Selepas
melakukan uji kaji sejauh mana pertembungan tiga penjuru bakal memberi kesan
dalam keputusan pilihan raya umum (PRU), UMNO kini mengintai kemenangan yang
lebih besar untuk menguasai kerajaan pusat secara dominan.
Pilihan
Raya Negeri (PRN) Melaka hanyalah platform umpama sebuah ‘makmal’ untuk melihat
sejauh mana pertaruhan UMNO akan membuahkan hasil atau sebaliknya, ia ternyata
senario pertembungan tiga penjuru memberi mereka kelebihan.
Strategi
UMNO menjadi, penubuhan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS sebenarnya adalah
langkah awal sebelum kemudiaannya memerangkap blok pembangkang, Pakatan Harapan
(PH) untuk bersetuju menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kemudiaan,
UMNO menggunakan alasan penyatuan ummah khususnya dikalangan orang Melayu
dengan menarik Bersatu untuk keluar daripada gabungan PH dan membentuk sebuah
kerajaan yang majoritinya kaum bumiputera bersama-sama rakan parti di Sabah dan
Sarawak.
Muhyiddin kemudiaan membentuk Perikatan Nasional (PN) yang
turut disertai PAS, Gerakan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah
(PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Bagaimanapun, langkah penubuhan PN tidak disenangi UMNO yang
dilihat sebagai saingan kepada Barisan Nasional (BN), jadi tidak hairanlah
serangan demi serangan dihalakan kepada PN khususnya Muhyiddin sehingga
menyebabkan didesak meletak jawatannya.
Klimaks kepada serangan tersebut adalah apabila Anwar
diperalat dan dipergunakan anak muridnya dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi dan rakannya, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat pakatan
bersama menjatuhkan kerajaan PN dipimpin Muhyiddin.
Zahid menipu cikgunya dan Ismail Sabri diangkat menjadi PM
kesembilan, Anwar sekali lagi kempunan untuk menjadi pemimpin nombor satu
negara.
Lebih tidak masuk akal lagi apabila PH sebelum ini kuat
menentang salah guna dan penyelewengan kuasa pula sanggup melihat UMNO kembali
berkuasa, seakan merelakan seorang PM daripada UMNO menjadi PM berbanding
Muhyiddin yang tidak terpalit dengan sebarang kontroversi.
Langkah memberi UMNO kuasa dominan di Putrajaya adalah
kesilapan besar PH dan Anwar yang beranggapan parti lawannya itu sudah berubah
tetapi sangkaan mereka itu meleset, lihat kini apa yang berlaku kepada senario
politik negara.
Satu persatu kumpulan kluster mahkamah diberikan keistimewaan
dan terbaharu isu hadiah tanah RM100 juta diberikan kepada Najib. Jadi adakah
UMNO sudah berubah apabila mendapat kuasa seperti yang disangkakan oleh Anwar
dan PH?
Dalam krisis politik Melaka, walaupun UMNO dilihat menjadi
punca tetapi pengundi masih memberikan mereka satu kemenangan besar, malah
memperoleh majoriti dua pertiga.
UMNO sengaja mencipta krisis di Melaka, kerjasama diperingkat
kerajaan pusat tidak dihiraukan apabila UMNO enggan berunding pembahagian
kerusi dengan PAS dan Bersatu walhal Kabinet dipimpin Ismail Sabri ketika ini
adalah hasil sokongan kedua-dua parti tersebut.
Hasilnya, UMNO berjaya mewujudkan situasi pertembungan tiga
penjuru dan keengganan bertolak-ansur dalam pembahagian kerusi adalah cerminan
sebenar sikap angkuh dan sombong parti tersebut yang tidak pernah berubah.
Pertembungan tiga penjuru adalah perjudian besar UMNO dan
strategi itu ternyata berkesan kerana pengundi yang tidak menyokong mereka
sudah terpecah kepada dua kumpulan.
Apabila undi terpecah, UMNO dan BN berjaya memperoleh
kemenangan walaupun majoriti di setiap kawasan ditandingi rendah tetapi yang
penting adalah meraih kemenangan, itu yang lebih utama dan bukan berapa banyak
undi yang peroleh.
Bahkan sekiranya dicampur dengan jumlah undi yang diperoleh
PN dengan PH, sudah pastinya BN tidak akan mendapat kemenangan sama sekali.
Namun, akibat pertembungan tiga penjuru kelebihan memihak
kepada BN kerana mempunyai pengundi yang totok dan setia kepada mereka yang
tidak berganjak.
Mengambilkira sampel kejayaan dalam PRN Melaka, UMNO dan BN
kini mengintai strategi sama dengan memastikan pertembungan tiga penjuru di
setiap kerusi Parlimen yang ditandingi dengan harapan ia akan membawa hasil
yang sama seperti di Melaka.
UMNO dan BN begitu yakin dengan strategi mengheret semua
parti yang ada di Malaysia masuk bertanding sehingga mewujudkan pertembungan banyak
penjuru bakal memberi mereka kelebihan.
Jika dalam PRN Melaka, UMNO dan BN berjaya memperoleh
majoriti dua pertiga maka tidak mustahil untuk mereka mengulangi kejayaan sama
tetapi mereka perlu memastikan wujud pertembungan tiga penjuru dalam setiap kerusi
Parlimen ditandingi.
Hanya dengan strategi pertembungan tiga penjuru, UMNO dan BN
akan mampu meraih kemenangan besar.