Masalah tekanan air rendah di kampung Sri Kersang, DUN Rim menjadi
antara masalah utama yang akan cuba diselesaikan oleh calon Pakatan Harapan, B.
Prasanth Kumar.
Menurut beliau yang turun meninjau masalah penduduk ke kampung Sri
Kersang pagi tadi, melihat sendiri bekalan air yang dihantar oleh lori tangki
ke rumah pam di kampung itu
Beliau turut menemuramah seorang penduduk mantan Pengerusi Majlis
Pengurusan Komuniti Kampung yang berkata tangki yang lebih besar hanya dibina
pada era pentadbiran Adly Zahari sebagai Ketua Menteri biar pun masalah telah
berlautan lama.
"Masalah air di kampung Seri Kersang ini telah berlarutan
sejak 13 tahun lebih. Saya beritahu tangki air dah bertahun tak pernah berubah.
"Itulah saya menyeru orang kampung kalau kita undi BN, mereka
kata kita selesa. Kali ini kita buat macam yang lepas, kita undi PH supaya
mereka akan perbaiki sistem paip air di sini.
"Kadang-kadang lembaga air macam-macam alasan, tekanan
rendah. Tak kan bertahun tekanan rendah tidak boleh diatasi.
"Wakil rakyat dah berapa orang, seolah-olah kampung ini
terpinggir. Ini tempat yang paling hujung sekali dari Bertam, ini tempat paling
tinggi dan terakhir dapat bekalan air," katanya.
Tambah beliau, selepas PH memerintah baharulah dibina tangki air
yang boleh menampung bekalan untuk seluruh penduduk kampung dan mereka tidak
lagi perlu menunggu lori tangki setiap kali bekalan terputus.
"Bila PH perintah dahulu barulah dibina tangki (dan rumah
pam) yang tidak perlu lagi orang kampung tadah air di tepi jalan.
"YB Adly yang beri inisiatif, buat satu tangki yang
betul-betul tak perlu orang kampung letak besen, tong, periuk di tepi jalan.
PRN kali ini kita buat perubahan. Minta PH perintah kembali.
"Dijanji dahulu ada tangki yang lebih besar, tetapi kerajaan
(pusat) telah jatuh maka tiada tindakan susulan," katanya lagi.