Pakatan Harapan (PH) menamakan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu diberi mandat memerintah oleh rakyat pada 20 November ini.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Adly dan kerajaan PH sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan meneruskan dasar pro rakyat yang telah diasaskan ketika mentadbir negeri itu sepanjang 22 bulan lalu.
"PH meletakkan calon di 28 kerusi, atas nama PH dan kita akan berkerja sebagai satu pasukan.
"Kalau pilih parti sebaliknya (lawan), menang PN dan BN, Pas itu hanya menumpang sedikit, akan membawa satu kekecohan yang besar kerana mereka ada dua calon Ketua Menteri.
"Kita telah menonjolkan satu tokoh yang pernah menerajui kerajaan PH. Maka dengan itu muafakat pimpinan ialah meneruskan komitmen yang sama. Dengan ini PH menamakan saudara Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri.
"Bila kita menang dia akan diangkat untuk meneruskan agenda (pro rakyat)," katanya dalam majlis pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN yang merupakan manifesto PH Melaka.
Menurut Anwar, muafakat PH sesungguhnya untuk meletakkan asas yang kukuh dalam politik membela rakyat dengan prinsip tatakelola yang baik.Politik, katanya, tidak boleh digunakan untuk mengaut kekayaan serta keuntungan peribadi dan membiarkan rakyat melarat.
"Memang saya tidak boleh nafikan permasalahan yang berlaku di Melaka dan politik sengit menyebabkan rakyat berasa kian sinis dan kecewa, dan tempiasnya kepada semua ahli politik.
"Ahli politik gunakan kuasa untuk mengaut kekayaan dari saham ke pasir. Atau salah guna kuasa kayakan diri keluarga dan kroni. Itu yang harus ditolak.
"Rakyat yang menentukan sama ada mereka mahu mengekalkan satu sistem yang bobrok yang telah memungah kekayaan atau (mereka mahu) yang menjamin satu tatakelola baik berdasarkan prinsip akhlak dan ektika. Ini yang kita cuba sedaya mungkin bentangkan kepada rakyat negeri Melaka," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengingatkan rakyat Melaka untuk tidak lupa kepada kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sering bergolak dan gagal menangani Covid 19.
Kelewatan mendapatkan vaksin, katanya, menjadikan Malaysia di antara negara paling teruk menghadapi pandemik Covid di dunia dan menyebabkan hampir 30,000 kematian.
Begitu juga jurang antara miskin dan kaya yang tidak mampu dirapatkan dalam dasar kerajaan PN, malah tidak bersungguh-sungguh pula menyiasat skandal Pandora Papers yang menyebabkan RM1.8 trilion mengalir keluar negara secara diragui.
"Jurang kemiskinan antara kaya dan miskin (masih luas). Namun barisan pimpinan tersergam dengan kekayaan luar biasa, termasuk yang datang ke Melaka.
"Jangan lupa negara masih menanggung hutang RM32 bilion skandal 1MDB. Saya timbulkan mengenai Pandora Papers yang meragut kekayaan begitu besar. Seorang ada ratusan juta ringgit disimpan di tax heaven," katanya.
Bagaimanapun Anwar tidak meremehkan kebijaksanaan pengundi Melaka untuk membuat perubahan.
Katanya, Melaka yang pernah menjadi kosmopolitan pada era empayar kesultanan lalu perlu dikembalikan kegagahannya dan kegemilangannya.
"Melaka di antara negeri di kepulauan Melayu yang telah melakar sejarah luar biasa gemilang. Kesultanan Melayu Melaka terkenal dengan tatakelola. Tetapi bila tempang berlakulah kecurangan dan mudah diserang oleh musuh.
"Namun kemajmukan Melaka itu menyebabkan ia menjadi ulung. Jelas Melayunya, jelas Islamnya tetapi ada kepelbagaian kaum, agama dan budaya sehingga dikupas oleh sarjana sejarah sebagai kosmopolitan Melaka.
"Malah orang Melayu Melaka dibesarkan dengan menghormati Laksamana Hang Tuah yang dianggap hebat, kerana Hang Tuah menguasai pelbagai bahasa yang melambangkan kepelbagaian, beliau kuasai 11 bahasa. Ini budaya yang tidak diterapkan. Yang diterapkan oleh parti tertentu ialah permusuhan kaum dan agama hingga negara kucar kacir," katanya lagi.