Politik Melaka: Anwar nafi temui Ali Rustam
Pergolakan politik negeri Melaka tidak melibatkan campur tangan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana yang dilaporkan beberapa media arus perdana, semalam.
Presiden KEADILAN itu juga menafikan berita beliau cuba menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Sri Utama Dr Ali Rustam sebagaimana dilaporkan.
“Ada berita saya mohon mengadap, saya tidak,” katanya selepas lawatan di Pantai Telok Kemang, Port Dickson, pagi tadi.
Ditanya sama ada beliau telah bertemu dan berbincang secara khusus dengan Pakatan Harapan Melaka berkenaan perkembangan terbaharu, Anwar berkata beliau telah berbincang dengan PH negeri sejak beberapa minggu lalu.
“Saya bincang dengan PH semua negeri. Paling akhir dengan Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka,” katanya.
Justeru, Anwar menolak mengesahkan sebarang kaitan antara beliau dan pergolakan politik di Melaka.
“Itu tanya Melaka (PH negeri).
“Orang beritahu (pergolakan politik) tetapi tiada yang konkrit, setahu saya,” katanya lagi.