KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata,
perjanjian kerjasama antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja
membawa kebaikan dari sudut politik, malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam
aspek pemulihan negara pasca-Covid-19.
Katanya,
kerjasama itu yang dibuat ketika negara berdepan masalah kesihatan dan ekonomi
adalah sesuatu yang positif dan tepat pada masanya.
“Perundingan
ini dibuat atas kepentingan negara dan rakyat. Selepas keseluruhan rakyat
menerima vaksin, kerajaan boleh mengadakan pilihan raya umum.
“Kerjasama
ini sekurang-kurangnya akan membawa keamanan dalam negara, menjernihkan
seketika konflik politik dan sekali gus memberikan kerajaan ruang untuk fokus
sepenuhnya terhadap memberi khidmat kepada rakyat.
“Kita
tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepimpinan yang kukuh, jadi
kerjasama yang bermakna akan memberi peluang untuk kerajaan bergerak dengan
lebih efektif,” katanya dalam kenyataan.
Bung
yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, walaupun perjanjian itu
hanya bersifat sementara, pandangan blok pembangkang tetap akan diambil kira
oleh kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat.
Katanya,
pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan membentuk kerjasama
dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia
itu juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Kita
yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya
mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara
berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.
Semalam,
kerajaan persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
MoU
yang terhasil daripada beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan
pembangkang itu ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri Ismail Sabri
Yaakob dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Ia
mengandungi tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran untuk mengembalikan
kestabilan politik bagi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Turut
menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah
Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.