KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mencadangkan
wakil kerajaan lain dipilih untuk mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN),
bukannya Muhyiddin Yassin kerana majlis itu di bawah pimpinannya sebelum ini
tidak menampakkan hasil positif dengan jangkitan Covid-19 mencecah puluhan ribu
kes setiap hari.
“Sebab
itu kita beritahu perdana menteri, sebaiknya lantiklah tokoh baharu dari
kerajaan, kita tidak cadang wakil daripada pembangkang.
“Atau
melantik individu lain yang ada pengalaman serta mampu mengendalikan MPN,
janganlah ambil orang sama dan mengharapkan cadangan baharu yang boleh
menyelesaikan masalah.
“(Ketika Muhyiddin) jadi perdana menteri, ada kuasa penuh semasa pelaksanaan darurat, banyak (perkara) gagal, banyak kes. Yang lebih menyulitkan adalah jumlah kematian dicatatkan negara kita adalah paling tinggi di dunia,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun)
mengenai pandangannya berhubung pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN
ketika menjadi perdana menteri dan selepas meletakkan jawatan itu, adakah ia lebih
baik dalam memulihkan negara kerana di bawah pimpinannya, kerajaan Perikatan
Nasional (PN) gagal melakukannya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini
mempertahankan keputusan melantik semula Muhyiddin sebagai pengerusi MPN
bertaraf Menteri.
Katanya,
pelantikan itu disebabkan bekas perdana menteri terbabit memegang jawatan
berkenaan sejak MPN ditubuhkan di bawah kerajaan PN.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau menjalankan tugas sebagai pengerusi MPN secara sukarela tanpa mendapat sebarang imbuhan.