Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan bulan Ogos
selaku bulan Kemerdekaan adalah bulan yang sesuai untuk membina semula negara.
Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen yang berkumpul di Dataran
Merdeka hari ini adalah sebagai simbolik menuntut kerajaan pimpinan Tan Sri
Muhyiddin Yassin supaya menjunjung prinsip keluhuran perlembagaan, demokrasi
berparlimen dan kedaulatan Institusi Raja-Raja.
"Jelas beberapa bulan belakangan ini, kerajaan PN terbukti
gagal memimpin negara dan menyelesaikan permasalahan rakyat. Lebih 1 juta kes
Covid-19 dilaporakan setakat ini. Lebih 9, 000 rakyat meninggal. Ekonomi dalam
keadaan tenat. Rakyat hilang kerja. Duit simpanan mereka telah habis. Graduan
universiti menganggur. Rakyat resah dengan masa depan mereka.
"Apabila Perikatan Nasional gagal urus tadbir negara, mereka
mengumumkan darurat. Ordinan Darurat elak dibahaskan di parlimen seperti
termaktub dalam perlembagaan. Apabila YDP Agong tegur kerajaan, titah Agong
diabaikan," katanya.
Justeru, katanya, berdasarkan sebab-sebab itulah Ahli-ahli
Parlimen berhimpun untuk menuntut Perdana Menteri dan seluruh Kabinetnya letak
jawatan dengan serta-merta.
"Bulan Kemerdekaan ini, kita bina semula negara kita dengan
jiwa merdeka," katanya.