PELARIAN Mahiaddin Md Yassin sudah memasuki
selekoh terakhir dan akan menuju ke garis penamat. Kurang 24 jam lagi beliau
akan mencecah finish line ribbon. Berapakah masa catatan yang
akan dibuatnya, masih ditunggu dengan penuh minat dan debaran. Jurumasa sedang
merekodnya. Apakah beliau akan memecah rekod dunia atau negara sebagai PM
terpendek atau pun mencipta rekod peribadi?
Rekod sendiri yang tersendiri sudah pasti berjaya dicatatnya.
Selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan menteri kabinet di
Putrajaya disebelah pagi semalam dan dengan pimpinan partinya di rumahnya
disebelah petang, kian marak spekulasi beliau akan berundur. Kononnya sudah ada
mata yang melihat atau ternampak beliau sudah masuk ke selekoh 100 meter. Sudah
hampir sangat ke garisan penamat.
Pertemuan dengan menteri kabinet petang semalam adalah
perjumpaan terakhir, perjumpaan "sayonara." Begitu juga dengan
mesyuarat partinya mungkin juga terakhir. Mesyuarat itu khabarnya
dipengerusikan oleh timbalannya Ahmad Faizal Azumu. Apabila beliau tidak lagi
mempengerusi mesyuarat, bermakna beliau telah menyerahkan tugas kepada
timbalannya, beliau sudah hilang selera untuk mengendalikannya.
Tiada pilihan lain lagi baginya melainkan terpaksa menghabiskan
"pelarian" dalam keadaan trajis seperti itu. Penolakan pelan tawaran
bipartisan menjadi klimaks kepada usahanya untuk selamatkan diri dan kedudukan.
Tawaran pelan kerjasama itu adalah usaha terakhir yang sangat berani dibuatnya.
Risiko daripada penolakan itu menyebabkan beliau mengambil keputusan apa yang
difaham kini.
Beliau dikatakan sudah menulis surat peletakan jawatan? Esok
akan menghadap Yang diPertuan Agong untuk menyerahkannya. Perkara ini disahkan
oleh seorang menteri lewat tengah hari tadi? Sememangnya itulah prosedur yang
sepatutnya. Selepas menyerahkan surat peletakan jawatan, paling awal tengah
hari, beliau akan mengadakan perutusan mungkin yang terakhir, atau sebaliknya?
Di sini saya tidak mahu bercakap sesuatu yang dalam genggam
Tuhan dan takdir. Politik itu tetap sebagai seni serba mungkin.
Saya masih bersikap skeptikal dengan apa yang akan berlaku
terhadap Mahiaddin. Walaupun disebut sendiri oleh seorang menteri beliau akan
letak jawatan. Ini kerana sudah barang tentu masih ada usaha terakhir oleh
pihak-pihak tertentu untuk menghalangnya meletak jawatan.
Usaha itu bukan lagi untuk kepentingan dan kebahagiaan
Mahiaddin, tetapi untuk diri mereka sendiri. Kerana peletakan jawatan Mahiaddin
menyebabkan yang lain juga akan ikut meletak jawatan, kerajaan PN yang digahkan
sebagai kerajaan Melayu Islam juga akan tumbang. Yang terkorban dan menjadi
mangsa atas keputusan ahli Parlimen Pagoh itu bukan sahaja beliau tetapi yang
lain juga.
Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Jaafar Kamaruddin,
Takiyuddin Hassan, Annuar Musa, Ismail Sabri Yaakob ikut sama
"syahid".
Sekiranya Mahiaddin sudah membuat keputusan itu, bagi saya
biarlah beliau meneruskannya. Jangan diganggu dan dihalang lagi.