ANWAR IBRAHIM - PERTAHANKAN PRINSIP LEBIH UTAMA DARI MENGEJAR JAWATAN

 

May be an image of 3 people


Mari kita ingat pesanan Imam As Syafie R.A ketika beliau ditanya oleh seorang anak muridnya, " Wahai Imam, nanti di akhir zaman, akan ramai lahir pemimpin yang zalim, jadi bagaimana kami ingin tahu akan pemimpin yang berjuang pada landasan Islam yang betul?".

Iman As Syafie R.A menjawab, " Kalau kamu ingin mengetahui, kamu carilah pemimpin yang banyak panah-panah fitnah menuju kepadanya. Maka, kamu ikutlah pemimpin yang difitnah banyak itu kerana sesungguhnya dia sedang berjuang di jalan yang benar".

Sesiapa sahaja yang memperjuangkan Islam, menentang korupsi dan menegakkan keadilan, pasti akan menemui pelbagai fitnah dan mehnah di hadapannya oleh musuh-musuh yang tidak mahu meninggalkan amalan rasuah dan tidak mahu melihat keadilan Islam itu tertegak.

Namun, jika perjuangan yang kita lalui itu adalah laluan yang senang dan selesa, tanpa diuji, mudah mendapat jawatan dan kedudukan, maka muhasabahlah kembali, apakah benar jalan yang kita pilih itu? atau sebenarnya ia hanyalah kaca dari timbunan kaca yang bersembunyi di dalamnya permata yang berharga.

Sejarah mencatatkan ramai di kalangan pejuang bahkan para ulamak besar yang menerima ujian berat serta fitnah sepanjang hidup mereka. Imam Abu Hanifah R.A, (Imam mazhab Hanafi) pernah dipenjara oleh Penguasa di zaman Abbasiyah kerana enggan menerima jawatan Qadhi. Sebelum itu, di zaman Umayyah, beliau pernah ditahan kerana enggan menjadi hakim. Beliau mempertahankan prinsip dan kepercayaannya dari mengejar jawatan dan kedudukan sehingga sanggup terpenjara, Beliau wafat ketika di dalam penjara.

Imam Malik R.A (Imam mazhab Maliki) pernah dihukum gabenor Kota Madinah ketika era Abbasiyah karena mengeluarkan fatwa bahwa hukum talaq yang dilaksanakan penguasa tidak sah. Ketika itu, Kerajaan Abbasiyah membuat fatwa, iaitu seluruh penduduk perlu taat kepada pemimpin. Jika engkar, akan terjatuh talaq atas isterinya. Imam Malik R.A membantah fatwa tersebut karena meriwayatkan hadith bahawa tidak ada talak bagi orang yang dipaksa.

Imam mazhab Syafie, Imam As Syafie R.A juga tidak terlepas dari ujian dan fitnah. Beliau telah difitnah kononnya mengikut Syiah dan cuba menggulingkan kerajaan Khalifah Harun Ar Rasyid, Kemudian Imam Syafie ditangkap. Tangan dan kakinya diikat dengan rantai, lalu diarak di jalanan sebagai sosok yang tertuding melawan kekuasaan negara. Namun akhirnya, beliau dibebaskan setelah Khalifah menyedari itu merupakan satu fitnah jahat terhadapnya. Khalifah yang adil apabila dia mengetahui seseorang itu difitnah, maka orang itu akan dibebaskan.

Imam Ahmad bin Hambal R.A (Imam mazhab Hambali) pernah dipenjarakan kerana enggan mengikuti kepercayaan kaum Muktazilah iaitu Alquran itu adalah makhuk. Khalifah Al Makmun ketika itu memaksa para ulamak bersetuju dengan pendapat bahawa Al Quran itu adalah makhluk. Imam Ahmad R.A tetap mempertahankan kesucian Al Quran dengan menyatakan bahawa Al Quran itu adalah Kalamullah, tidak boleh disamakan dengan makhluk. Beliau dipenjarakan dan kemudiannya dibebaskan di era Khalifah Almutawakkil.

Imam Ibnu Taimiyah R.A juga berkali-kali ke penjara hanya kerana beliau mempertahankan prinsip dan keyakinannya Begitulah hebatnya seseorang yang mempertahankan prinsip sehinggakan tidak lagi takut untuk dipukul atau dipenjarakan. Ada sesetengah pejuang itu sudah menganggap penjara sebagai hotel mereka. Bagaimana dengan kita? Ramai yang megaku kononnya pejuang rakyat, pejuang Islam, tetapi usahkan penjara, lokap pun tidak pernah mereka masuk bahkan mahu membayar denda melanggar SOP Covid19 pun mereka cuba mahu lari dengan berbagai alasan.

Kita samasekali tidak menyamakan Anwar Ibrahim itu dengan para ulamak besar dan pejuang-pejuang hebat seperti di atas kerana terlalu jauh beza martabatnya bahkan tiada sesiapa pun di dunia ini sekarang menyamai mereka. Kita cuma boleh samakan perjuangan Anwar Ibrahim dengan para pejuang dan pemimpin mutakhir ini. Laluan para pejuang dahulu kala untuk menyampaikan kebenaran dan melawan kezaliman adalah sama yang dilalui oleh para pejuang masa kini.

Para pejuang terdahulu menentang pemerintah atas dasar prinsip dan kebenaran. Ulamak dahulu menolak jawatan yang ditawarkan oleh pemerintah kerana mempertahankan prinsip meskipun terpaksa menanggung risiko dipenjarakan. Ramai ulamak sekarang mengejar jawatan dan meninggalkan prinsip yang dipegang. Ramai di kalangan mereka menghimpit para pemerintah yang silih berganti asalkan mereka mendapat kedudukan.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor (Presiden Pas) dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am Pas) salah seorang ulamak di era moden yang tidak pernah menghimpit pemerintah dan menjadi pengampu, bahkan kedua mereka istiqomah menentang pemerintah yang zalim dan lantang menegur kemungkaran pemerintah. Kedua ulamak hebat ini akan membela orang-orang yang dizalimi dan difitnah meskipun berlainan parti. Anwar Ibrahim adalah di antara pemimpin politik yang telah mendapat pembelaan dari kedua tokoh hebat ini apabila Anwar difitnah dan dizalimi.

Sehingga saat ini, Anwar terus difitnah dan dikhianati. Apakah beliau mengalah? Merajuk atau berputus asa? Tidak. Dia mengajak kita semua terus bangkit. Dia tolak semua tawaran atau perbincangan yang boleh melenyapkan prinsipnya. Atas faktor itulah kita masih di sini dan terus berjuang.

WFAUZDIN NS