Gerakan Hartal Doktor Kontrak
tidak akan berganjak daripada pendirian mereka untuk menerusan mogok pada 26
Julai ini walaupun Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin memutuskan
khidmat mereka dilanjutkan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh
khidmat wajib.
Dalam
sidang media secara maya hari ini, Gerakan Hartal Doktor menyifatkan tindakan
meneruskan kontrak mereka bukan satu jalan penyelesaian tetapi sebagai
‘gula-gula’ untuk menutup mulut mereka.
“Ketika
ini sistem kesihatan kita sangat membimbangkan kerana kekurangan kakitangan,
pemberian kontrak bukan solusinya sebaliknya pemberian jawatan tetap perlu
dilaksanakan,” kata mereka.
Bagaimanapun, menurut Dr Umar
Baraka isu yang berlaku ini bukanlah masalah mereka sahaja bahkan ia adalah
masalah nasional.
“Harap
kerajaan beri perhatian kepada kami dengan lantikan tetap supaya dapat benefit yang
sama, di mana perlu ada kriteria hitam putih barulah perkara ini telus.
“26
Julai hartal dilakukan di seluruh hospital. Majoriti hospital di Selangor menunjukkan
solidariti kepada kami,” kata beliau.
Dijangka
4,000 sehingga 5,000 orang doktor di seluruh negara akan terlibat dalam mogok
dijadualkan berlaku pada Isnin 26 Julai ini.
Semalam,
Mahiaddin berkata Jemaah Menteri bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai
pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara
kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.
Dalam satu kenyataan beliau
berkata, langkah penyelesaian segera itu adalah bagi memastikan kesinambungan
perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
Dalam pada itu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mahu kerajaan beri perancangan jelas untuk kerjaya mereka.