KUALA LUMPUR: Sekumpulan peserta mengambil bahagian dalam konvoi
berkereta di ibu negara sebagai tanda bantahan terhadap pengurusan kerajaan
Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik Covid-19.
Terdapat sekitar 10 kenderaan mengibarkan bendera hitam sekitar
jam 11.20 pagi bermula dari Stesen LRT Bangsar menuju ke Dataran Merdeka
sebelum berpatah balik ke stesen terbabit.
Konvoi lebih sejam itu turut diadakan serentak di beberapa
negeri lain seperti Kedah, Melaka, Johor dan Sarawak.
Difahamkan, konvoi terbabit adalah permulaan kepada perhimpunan
“Keluar dan #Lawan” yang akan diadakan pada 31 Julai nanti.
Beberapa polis turut mengiringi konvoi itu dan mengawal aliran
lalu lintas di sekitar ibu kota.
Wakil Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang juga penganjur
acara itu, berkata polis trafik amat memberikan kerjasama dalam mengawal lalu
lintas.
“Mereka (polis) amat membantu kami dan tiada provokasi
ditimbulkan oleh mana-mana individu,” kata Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar kepada
wartawan.
Dia meminta orang ramai turut menyertai bantahan itu dengan
mengibarkan bendera dari kenderaan sambil memandu dalam kawasan sekitar 10km di
rumah masing-masing.
Katanya, peserta juga turut diingatkan supaya sentiasa patuh
peraturan jalan raya, elakkan provokasi dan mematuhi prosedur operasi standard
(SOP).
Sabtu lalu, SSR menganjurkan bantahan berskala kecil di Dataran
Merdeka yang disertai 20 orang peserta berpakaian serba hitam.
Mereka turut membawa patung jenazah sebagai simbolik kepada
peningkatan kes kematian dan bunuh diri akibat pandemik dan 14 bendera hitam
menjadi “suara” kemarahan rakyat seluruh negara.
Antara permintaan mereka termasuk mendesak perdana menteri
meletakkan jawatan, sidang parlimen diadakan secara penuh dan pemberian
moratorium pinjaman secara automatik untuk semua.
Protes itu juga menyebabkan tiga penganjur Muhammad Nur Taufiq
Azhar, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar, dan Mohammad Alshatri Abdullah dikenakan
denda RM2,000 setiap seorang kerana melanggar SOP.
Ditanya sama ada SSR akan meneruskan perhimpunan itu walaupun dikenakan
tindakan denda baru-baru ini, Asraf berkata hukuman berkenaan tidak akan
menghentikan acara yang sudah dijadualkan.
“Sudah tentu, saya takut. Saya cuma rakyat biasa tetapi bersedia
untuk berdepan dengan segala kemungkinan,” katanya.