Tak perlu Interim, Anwar calon PM terbaik.
Tiada keperluan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mana-mana dalam
kalangan 220 ahli Parlimen bagi menggalas jawatan Perdana Menteri interim
sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dalam masa terdekat.
Sebaliknya, Pengarah Strategi Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin berkeyakinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim mampu meraih sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk diangkat
sebagai Perdana Menteri baharu, bila sampai waktunya.
Jelas
beliau, penubuhan kerajaan interim sebenarnya tiada dalam peruntukan
Perlembagaan Persekutuan dengan perkara itu hanya boleh terlaksana setelah
Parlimen terbubar.
“Bagi
saya, semua pihak kena ikut Perlembagaan Persekutuan dan serahkan kepada 220
ahli-ahli Parlimen bagi memutuskan siapa calon layak menjadi Perdana Menteri
sekiranya Muhyiddin letak jawatan kelak.
“Dengan Anwar kini menerima
sokongan terbanyak rakyat menerusi beberapa kaji selidik dibuat media tempatan,
saya secara peribadi yakin Presiden PKR itu turut mampu meraih keyakinan
majoriti ahli Parlimen untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu.
“Tidak
perlu buat kerajaan interim kerana perkara itu tidak dinyatakan dalam
Perlembagaan Persekutuan…Hanya ada ‘kerajaan sementara’ selepas Parlimen
dibubar…kena ikut Perlembagaan Persekutuan, jangan ikut tafsiran sendiri,”
katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau
berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi menegaskan hasil keputusan mesyuarat MKT pada Rabu malam memutuskan
untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.
Selepas
hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil
berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi
aspirasi yang digariskan parti itu.
Mesyuarat MKT itu turut memutuskan UMNO tidak
sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH).
Selain
itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan seorang Perdana Menteri interim dilantik
bagi menguruskan kerajaan bagi tempoh sementara, sehingga krisis Covid-19
berjaya ditangani dan negara mencapai immuniti berkelompok.
Mengulas
mengenai kedudukan kerajaan PN ketika ini, Tze Tzin secara teori berpandangan
kerajaan dipimpin Muhyiddin sudah dianggap runtuh susulan hanya mempunyai baki
74 daripada keseluruhan 112 kerusi Parlimen, setelah 38 kerusi ahli Parlimen
UMNO dianggap dikosong susulan keputusan terkini parti berkenaan.
Atas
pertimbangan itu, Ahli Parlimen Bayan Baru itu mencadangkan Presiden Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu meletakkan jawatan Perdana Menteri
secara bermaruah dan tidak menunggu usul undi tidak percaya kepimpinan beliau
dalam sidang Parlimen untuk ‘dimalukan’.
“Soal
sama ada ahli Parlimen UMNO akan ingkar keputusan parti atau tidak, itu masalah
dalaman parti berkenaan. Namun, secara teori, Muhyiddin kena letak jawatan
sebab pada mata umum, beliau sudah hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Saya
fikir perkembangan beberapa hari akan datang akan lebih menarik. Kalau masa
bersesuaian, PKR dan Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk berunding dengan UMNO
demi menyelamatkan negara,” katanya.