Apa nasib anak muda Malaysia?
Anak muda zaman sekarang menhadapi pelbagai cabaran besar dalam bidang politik, pengajian and perkerjaan
Terima kasih kepada penswastaan pendidikan tinggi, yang juga
menyaksikan penubuhan universiti dan kolej perubatan, perundangan dan
kejuruteraan secara swasta, ketegangan etnik kemudian dapat dikawal.
Namun, tidaklah pula penswastaan pendidikan tinggi tidak
mengakibatkan permasalahan baru. Sudah pasti ianya wujud. Pertama, tampaknya
kita mengeluarkan dan mengeluarkan terlalu ramai graduan hari ini. Kita bahkan
tidak mampu untuk melantik secara tetap para doktor muda yang sekarang menjadi
barisan hadapan Malaysia melawan Covid-19. Para doktor muda ini sekarang
merancang untuk mengadakan mogok atau hartal.
Perbincangan tidak menyentuh tentang kualiti universiti kita –
swasta dan awam – yang tarafnya, tidak dapat dinafikan, juga terkesan akibat
hasil dari ‘pelambakan’ sistem pengajian kita yang berlaku pesat. Walaupun pada
suatu ketika dulu, beberapa universiti awam kita cukup bergengsi jika
dibandingkan dengan universiti serantau – dari Delhi ke Calcutta, ke
Chulalongkorn dan Thammasart, di Singapura dan Hong Kong, ke Tokyo dan Kyoto,
sehinggalah Seoul National serta Korea National Universities, hari ini, tidak
ada satu pun dari 26 universiti awam serta 47 universiti dan kolej swasta kita
dapat menandinginya. Ini, barangkali soal untuk waktu dan ketika yang lain
pula.
Yang lebih ditanggapi dalam perbincangan ini, kesemua lima
pembicara membahaskan tentang ketiadaan percubaan untuk menstruktur semula
sistem pendidikan kita bagi memberi keutamaan kepada pendidikan teknikal dan
vokasional. Ketika ini, stigma yang ditanggung oleh pendidikan vokasional
berlaku – seperti yang melekat pada pengajian liberal (sains sosial dan
kemanusian) yang ditanggapi tidak penting.
Keadaan di mana gaji mereka yang berpendidikan vokasional lebih
rendah juga tidak dikaji. Azmil dan Wan Atikah, yang keduanya pernah tinggal di
Jerman, berkongsi bagaimana, di negara itu, sektor pendidikan vokasional dan
teknikal cukup dibangunkan dan dikongsi. Jadi, kebanyakan pelajar di Jerman
yang tidak berkecenderungan akademik akan memilih pendidikan tinggi mereka di kolej
teknikal dan vokasional. Kerana begitu ramai mekanik, tukang paip, chef, tukang
elektrik, tukang bata dan kayu serta mereka yang lainnya dapat menerima gaji
yang baik, serta ada juga yang gajinya lebih tinggi dari para graduan, ramai
rakyat Jerman yang memilih untuk memasuki aliran pendidikan ini.
Ada juga
yang menyebut tentang Dr Maszlee Malik, yang merupakan menteri pendidikan di
bawah kerajaan Pakatan Harapan, juga bersungguh untuk menggubal dasar sistem
pendidikan negara, termasuklah memperkemas sistem kolej teknikal dan
vokasional. Malangnya, kudeta pintu belakang terjadi begitu laju.
Akhir
sekali, kita turut membincangkan isu hutang PTPTN. Kesemua mereka, termasuklah
Azmil, berpendapat bahawa perlu ada ‘pengampunan’ terhadap hutang PTPTN.
Pinjaman yang diambil pelajar bagi memasuki universiti perlu dihapuskan atau
dipotong. Secara minimumnya, sebuah moratorium perlu diberikan ketika ekonomi
menguncup serta tempoh pandemik sekarang. Perkara yang cukup hangat ini turut
dibincangkan sebelum pilihanraya 2018 dan PH juga berjanji untuk
memperhalusinya.
Tidak
kira siapa yang berkuasa, kerajaan patut memperhalusi hal ini dengan cepat,
seperti yang dibincangkan pembicara kita. Apatah lagi, banyak negara juga
menyediakan pendidikan secara percuma kepada warganya.
Menjangkau anak muda
Secara
tidak langsung, webinar ini satu usaha selama sedekad yang lalu bagi melibatkan
dan merekrut lebih ramai anak muda ke Aliran. Ianya bukanlah sebuah perkara
yang baru; kami sendiri sedar bahawa umur purata anggota Aliran sendiri,
termasuklah mereka yang di dalam jawatankuasa eksekutif, juga semakin
meningkat, saatnya kita sendiri semakin berusia!
Jadi, kami menganjurkan diskusi dengan kelompok anak muda untuk memahami minat dan kecenderungan mereka, acara yang menarik bagi mereka, dan bagaimana kami ‘yang berumur’ ini dapat bekerja bersama yang muda bagi sebuah Malaysia yang lebih baik, contohnya dengan meremajakan Aliran dengan darah dan tenaga muda.
Antara isu yang dikemukakan anak muda ketika berdialog dengan
mereka adalah bagaimana Aliran dapat meneruskan Aliran Monthly hampir 30 tahun
dan kemudiannya, laman web Aliran: “Bagaimana kalian dapat menulis dan menulis
selama itu?”
Faktanya,
tidak semua anggota Aliran menulis; hanya segelintir yang melakukannya, dan
kami menulis saat kami sangat ‘muda’, atau sekurangnya lebih muda dari
sekarang. Dan kerana itu tampaknya kami seperti tidak pernah berhenti.
Mengambil
kira komen ini dengan serius, kami memohon dana dari luar beberapa tahun lalu
untuk menganjurkan bengkel dua hari penulisan anak muda, di Lembah Klang, Pulau
Pinang dan Ipoh. Tujuannya bagi membantu anak muda memahami politik dan
masyarakat Malaysia dengan lebih baik dan memperkemas bakat menulis mereka.
Untuk permulaan, kami menggalakkan mereka untuk menulis kepada kami. Ramai yang
melakukannya. Kemudiannya, kami menganjurkan lebih banyak bengkel didanai kami
sendiri.
Barangkali,
kami perlu lebih banyak bengkel penulisan saatnya kita memasuki norma baharu.
Mungkin menerusi beberapa siri webinar anak muda, dengan tema yang berlainan,
sebagai sambungan kepada webinar ketiga ini.
Sebelum
pilihanraya 2018, saya ada menulis sebuah karangan “The Youth will set us free”,
yang memuji usaha beberapa anak muda mengacu perubahan dan pertukaran regim di
Malaysia. Artikel itu merupakan respon kepada beberapa pengulas, termasuklah
beberapa ahli akademik, yang secara tidak adil mengeneralisasi dan mengkritik
anak muda di media arus perdana. Mereka menyalahkan anak muda kerana tidak
daftar mengundi dan tidak menunjukkan minat kepada pengundian yang penting
dengan menyoroti pendapat serta ciri beberapa individu muda yang cuba untuk
memboikot pilihanraya. Saya berpendapat, sebaliknya, bukan anak muda yang
bermasalah, merekalah sebahagian dari penyelesaian. Baca artikelnya di sini.
Terdapat
beberapa poin yang diutarakan di sana yang mungkin dapat memperhalusi politik
anak muda di Malaysia. Juga, sila semak artikel lain oleh seorang cendekia muda
dan anggota Aliran, Haris Zuan, berjudul “Youth in the Politics of Transition
in Malaysia” (M Weiss and Faisal Hazis eds, Towards a New Malaysia? The 2018
Election and its Aftermath, Singapore: NUS Press, 2020, pp 131-48). Selamat
membaca.
Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
7 Julai 2021
Terjemahan oleh:
Zikri Rahman