By
Opposition Chief and Member of Parliament of Port Dickson, Datuk
Seri Anwar Ibrahim at the Dewan Rakyat sitting in the Parliament. PIX: Courtesy
of the Department of Information / MalaysiaGazette /26 JULY 2021.
KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih
mempunyai majoriti dibidas Ketua Pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang berlaku bukan soal
cukup majoriti tetapi lebih kepada menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan
tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pembatalan Ordinan
Darurat nyata melangkaui bidang kuasa baginda Sultan.
“(Datuk Seri) Ismail Sabri tahu undang-undang, dia patut
kemukakan di Dewan Rakyat, kenapa takut? Dia menteri dan anak Pahang, dia faham
tak erti kata derhaka? Faham tak titah Diraja peranan Parlimen?
“Orang seperti ini berdegil untuk derhaka dalam soal yang jelas
dan saya nak nasihatkan dia baca undang-undang, hormati Perlembangaan dan
hormati titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam sidang media selepas Sidang
Khas Parlimen ditangguhkan hari ini.
Turut hadir pemimpin Pakatan Harapan iaitu Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Anwar juga mengulas mengenai kenyataan Ismail Sabri bahawa
kerajaan masih mendapat sokongan 110 daripada 222 ahli Parlimen.
Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Kerajaan berharap rakyat
bertenang dalam menghadapi situasi terkini.
Kenyataan Menteri Kanan Keselamatan itu dibuat beberapa jam
selepas Istana Negara menegur pengendalian pembatalan ordinat darurat yang
tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta tidak dimansuhkan melalui
parlimen hari ini.
Dalam kenyataan ringkas empat perenggan, Ismail Sabri berkata,
beliau menjunjung titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
melalui kenyataan media Istana Negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, blok pembangkang akan tetap hadir
dalam di hari terakhir Sidang Khas Parlimen pada Isnin depan.
“Kita syak bahawa ini mainan mereka kerana tidak ada jawapan. Kita beritahu kepada Speaker yang mana dia baca kenyataan Istana Negara, derhaka.
“Keduanya, ketepikan Perlembagaan dan ketiga menghina Parlimen
dan Speaker tidak layak untuk teruskan tugas kalau keadaannya begini.
“Nak cuba pertahankan kerajaan yang sudah hilang majoriti dan
keabsahan yang nyata. Terutama dengan pendirian kami dan pendirian yang disebut
dalam kenyataan Presiden UMNO sebentar tadi bahawa tarik sokongan terhadap
Muhyiddin,” katanya lagi.
Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan sebanyak tiga kali selepas pembangkang meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat satu keputusan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dikatakan telah mengelirukan Dewan Rakyat.