Kerajaan PN belanja RM500 bilion beri bantuan: Siapa yang dapat?

 


Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membelanjakan dana sebanyak RM500 bilion memberi bantuan kepada rakyat untuk mengurangkan kesan pandemik Covid 19 dipersoalkan banyak pihak.


Bagi Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail, angka RM500 bilion itu terlalu besar jika dibandingkan nilai bantuan yang sampai kepada rakyat.


Beliau musykil ke manakah bantuan tersebut disalurkan.


"Kepada siapa dan kawasan mana bantuan ini diberikan? Nyatakanlah berapa jumlah dan bilangan penerima.


"Bagaimana kaedah penyampaiannya? Sama ada melalui NGO, agensi atau individu yang bertanggungjawab. Juga kita mahu tahu dalam bentuk apa bantuan itu disalurkan?


"Mohon mana-mana Ahli Parlimen ambil soalan ini untuk pastikan menteri jawab dalam Parlimen 26 Julai nanti," katanya.


Beberapa pihak berkata, dikhuatiri Rina terkeliru antara bantuan secara langsung dan bantuan tidak langsung, kerana pakej ransangan ekonomi yang berjumlah ratusan bilion ringgit diumumkan kerajaan PN sebahagian besarnya adalah nilai moratorium pinjaman bank.


Nilai itu merupakan bantuan secara tidak langsung menangguhkan bayaran pinjaman tetapi perlu dibayar semula selepas pandemik berakhir.


Manakala bantuan langsung adalah pemberian tunai, subsidi gaji atau peruntukan bakul makanan yang jumlahnya tidak mungkin mencecah RM500 bilion setahun.


Baru-baru ini Rina ketika menjawab soalan wartawan memberitahu kerajaan PN telah memberikan RM500 bilion bantuan kepada rakyat dalam tempoh satu tahun.