Isu pecat pekerja: NUBE buat 93 laporan polis terhadap CEO HSBC




NUBE membuat 93 laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia Berhad, Stuart Milne.

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) membuat 93 laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia Berhad, Stuart Milne, selepas bertindak memecat pekerja ketika krisis pandemik.

Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata merujuk titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Mei tahun lalu, baginda jelas menitahkan agar majikan tidak membuang pekerja sewenang wenangnya dan menasihatkan semua pihak memainkan peranan untuk menyelamatkan ekonomi negara.

“Namun, pada 3 Jun 2021, CEO HSBC Bank Malaysia telah memilih untuk mengumumkan skim pemberhentian pekerja membabitkan 600 orang pekerja ketika kes baharu Covid-19 melonjak ke paras 8,209 dengan sebanyak 103 kematian.

“Pengumuman ini dibuat walaupun keuntungan besar dicatatkan oleh bank. Lebih-lebih lagi, kumpulan sasaran adalah B40 dan M40. Sudah jelas pengumuman CEO itu dilakukan dengan sengaja untuk memperlekehkan nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Solomon berkata, kebiasaannya pihak kerajaan akan bertindak menangani ketidakpatuhan ke atas titah Diraja seperti dilakukan pihak HSBC.

Namun, memandangkan para menteri sibuk dengan keutamaan cita-cita politik mereka, mereka telah mengabaikan kepentingan melindungi Institusi Raja.

Katanya, jelas bahawa jumlah kes dan kematian baharu yang tinggi pada bulan Jun dan Julai 2021, akibat Covid-19, menunjukkan keutamaan kerajaan telah dikompromi.

“Namun, kami yakin bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dalam memberikan perlindungan sewajarnya ke atas Institusi Diraja dan rakyat.

“Bagi NUBE, ketidakpatuhan CEO HSBC Bank Malaysia Stuart Milne adalah satu pengkhianatan kepada Raja kita dan tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada 93 pegawai dan anggota NUBE, yang sanggup ke balai polis di seluruh negara ketika pandemik untuk membuat laporan demi melindungi Institusi Diraja dan pekerja-pekerja yang tertekan.