Kenyataan Media
Majlis Presiden Pakatan Harapan
25 Jun 2021
DARURAT TIDAK PERLU DILANJUTKAN SELEPAS 1 OGOS
Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas titah
pandangan DYMM Raja-Raja Melayu berkaitan isu Darurat seperti yang terkandung
di dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 16 Jun lalu,
iaitu "tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat
selepas 1 Ogos 2021".
Pakatan Harapan mengekalkan pendirian yang telah diumum sebelum
ini, iaitu Darurat yang diisytihar pada 11 Januari lalu tidak memberi kesan
kepada usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 dan perlu ditamat segera.
Malah berdasarkan bukti sains dan data, keadaan pandemik semakin meruncing dan
bertambah teruk sejak Darurat diisytihar dengan jumlah kes positif dan kematian
harian yang kekal tinggi.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan mengadakan mesyuarat
terakhir pada Julai ini. Dalam mesyuarat tersebut, wakil Pakatan Harapan akan
menegaskan bahawa jawatankuasa perlu:
● menjunjung titah pandangan DYMM Raja-Raja Melayu berhubung isu
Darurat;
● menerima bukti sains dan data bahawa Darurat tidak memberi kesan
kepada usaha
pengawalan pandemik COVID-19; dan
● menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
untuk tidak melanjutkan Darurat selepas 1 Ogos 2021.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga akan tamat fungsinya dan
terbubar selepas 1 Ogos 2021.
Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)