Hentilah sementara
beri beras, fokus kerja hakiki anda,’ Ahli MKT Umno tegur Menteri Pendidikan
-
May 19, 2021
Ahli Majlis Tertinggi
Umno, Mohd Razlan Rafii gesa Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin lebih fokus
kepada isu pendidikan.
PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin harus
bertanggungjawab ke atas sistem pendidikan yang semakin bercelaru di sebalik
gelombang ketiga pandemik Covid-19, kata seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
Mohd Razlan Rafii berkata antara kesan kecelaruan itu adalah
kegagalan kerajaan menyediakan 150,000 komputer riba dan tablet percuma kepada
pelajar serta program pendidikan TV yang tidak bermutu.
“Hentikanlah sementara program beri beras dan program kebajikan
wahai menteri pendidikan. Fokus kepada kerja hakiki anda, turun setiap masa,
setiap waktu melihat guru-guru, duduk bersama mereka dan selesaikan masalah
pendidikan ini,” kata Rafii dalam kenyataan.
Beliau mendakwa dana untuk pembekalan 150,000 peranti itu sudah
pun dikutip daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat,
bagaimanapun permasalahan itu gagal diselesaikan walaupun sudah enam bulan
berlalu.
“Mula-mula berjanji akan diedarkan pada Februari. Tunggu punya
tunggu, puasa sudah raya pun sudah, duit sudah ada. Cuma proses pembelian
sahaja dan pengurusan penghantaran tidak kunjung tiba.
“Kita pun tak tahu di mana silapnya. Susah ke nak beli laptop?
Ada banyak jenama dan banyak kilang. Kalau tak boleh beli semua dalam satu
jenama, belilah pelbagai jenama. Perkara sangat mudah, namun gagal dilakukan
dengan mudah,” katanya.
Yayasan Hasanah, yang dilantik oleh kerajaan bagi program
pembekalan komputer riba dan tablet itu, berkata semua 150,000 peranti itu
dijangka diagihkan menjelang September.
Razlan juga mendakwa Kementerian Pendidikan gagal menyediakan
program pendidikan bermutu menerusi televisyen.
“Kementerian Pendidikan berjanji akan menambah TV pendidikan
dengan pelbagai silibus. (Namun) setelah diumum, dibiarkan begitu sahaja. Bahan
video tidak berkualiti dan tidak cukup untuk memberi ilmu kepada anak-anak.
Ianya dibuat sekadar lepas batuk di tangga,” kata beliau.
“Bukan SPM sahaja yang perlu mengulang kaji. Anak-anak dari
Darjah 1 hingga Tingkatan 5 juga tidak mahu ketinggalan,” katanya.
Sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas di seluruh negara terjejas dengan penularan wabak Covid-19, memaksa sekolah di tutup dan pelajar semakin mengikuti kelas secara dalam talian dan menerusi program pendidikan TV.