Jangan tekan suara anak muda berterusan – Anwar
Penangkapan terbaharu ke atas anak muda yang berdemonstrasi pada malam Hari Raya Aidilfitri, Khamis lalu di Parit Raja, Johor tidak sepatutnya berlaku.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tekanan berterusan ke atas kumpulan anak muda berkenaan.
Katanya, pemerintah seharusnya mendengar suara bantahan dan bukannya mengambil sikap menekan.
“Saya kesal dan kecewa dengan penangkapan sekumpulan anak muda oleh pihak berkuasa di Batu Pahat, Johor yang bertindak menzahirkan sanggahan terhadap pemerintah baru-baru ini.
Tekanan pihak berkuasa terhadap anak-anak muda yang melakukan protes di hadapan Bangunan Parlimen bulan lalu turut dikesalkan.
Saya hargai usaha bingkas para peguam dan Ahli Parlimen dalam menawar dukungan guaman kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, bantahan anak muda bukan berlaku tanpa alasan namun dibuat kerana sikap kerajaan Perikatan Nasional yang membunuh demokrasi dan mengenepikan sidang Parlimen.
Oleh itu, tidak wajar pembantah dipersalahkan kerana mereka bukanlah punca pergolakan politik dalam negara.
“Apa yang kita saksikan sekarang adalah kegagalan yang nyata kerajaan Perikatan Nasional dalam segenap segi, dan sikap mereka dalam mendepani kritikan dan bantahan semacam ini hanya mencerminkan kelemahan kerajaan.
Keengganan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen amat dikesali sementara proses demokrasi terus diinjak dan dinodai. Saya yakin sentimen bantahan seperti ini akan terus merebak,” katanya lagi.
Semalam, polis menahan lebih banyak peserta himpunan yang menyalakan suar dan membentang banner ‘Kerajaan Gagal’ berkenaan dengan tahanan awal masih disambung reman dan proses soal siasat masih berterusan.