HAMZAH RIE NA
Siapa yang terkedu sekarang wahai para
lebaiaun? Sebelum nak meyokong periksa dahulu dan lihat dahulu sejarah si KJ
tu. Tapi mcm Kita semua ketahui Pas cerdik maka kiamat lah dunia ni!
ULASAN
VIDEO KHAIRI JAMALUDIN MENJAWAB
VIDEO KETUA PEMBANGKANG
Oleh Hassan Abdul Karim
Malang bagi Malaysia. Bangunan
Parlimen 17 tingkat senyap dan sunyi. Dewan Rakyat dan Dewan Negara
terkunci pintu-pintunya.
Ketua Pembangkang, Anwar
Ibrahim terpaksa menggunakan platform media sosial melalui video untuk
meluahkan fikirannya terhadap program vaksinasi kebangsaan terutama dari segi
proses pemerolehan vaksin itu dari luar negara.
Kemudian, Menteri Sains dan
teknologi (MOSTI) yang mengetuai Program Vaksinasi Kebangsaan, Khairi Jamaludin
yang bertanggungjawab dalam mendapatkan vaksin tersebut dari para pengeluarnya
telah menjawab dakwaan Ketua Pembangkang. Juga melalui video yang kemudian
tular di internet untuk tatapan warga nitizen.
Kalaulah kita boleh
anggap kedua-dua video, sama ada video Anwar Ibrahim dan Video Khairi Jamaludin
yang disebut di atas tadi dikira sah dan tulen serta jelas dan terang, tiada
sangsi-sangsi lagi dan boleh dianggap keterangan yang boleh diterima pakai,
bukannya hanya dengar cakap atau hearsay, maka terjawab juga kerinduan rakyat
Malaysia akan perdebatan yang menarik antara dua tokoh tersebut, Ketua
Pembangkang dan Menteri MOSTI.
Sepatutnya perdebatan
berkualiti ini berlangsung di dalam Parlimen, bukannya di alam maya melalui
video.Tetapi dalam keadaan tiada rotan, maka akar pun berguna, maka saya cuba
mengulas tentang apa yang Menteri Khairi Jamaludin katakan sebagai pembelaannya
terhadap dakwaan Ketua Pembangkang.
Khairi menyatakan beliau telah
menghadiri pendengaran di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Parlimen
(Public Account Committee atau PAC) bagi menjelaskan secara terperinci
berkaitan proses pemerolehan vaksin, seperti soal harga, syarikat yang
terlibat, jenis vaksin dan kontrak perjanjian. Saya boleh mengesahkan
pernyataan Khairi itu benar, kerana saya hadir di Parlimen sepanjang sidang
bulan Disember 2020 itu, walaupun saya bukan anggota PAC.
Tetapi satu perkara yang Khairi
Jamaludin lupa memberitahu orang ramai melalui videonya itu, ialah, bahawa
Laporan pendengaran berkenaan pemerolehan Vaksin dihadapan PAC itu tidak
dibentangkan di dalam Dewan Rakyat kerana Parlimen telah digantung kemudiannya dan
PAC tidak dibenarkan bersidang sepanjang penggantungan parlimen tersebut
sehingga sekarang.
Jadi ahli-ahli Parlimen dan
orang awam tidak dapat membaca dan meneliti Laporan PAC yang amat penting itu.
Inilah satu kesan buruk dari penggantungan Parlimen. Maka penjelasan Khairi
Jamaludin di dalam videonya itu hanyalah bersifat penjelasan sepihak sahaja
tanpa Ketua Pembangkang dapat memeriksa Laporan PAC yang tidak sempat
dibentangkan itu, akibat Parlimen digantung. Saya boleh mengesahkan
bahawa Laporan PAC itu tidak dibentangkan di Parlimen kerana saya berada di
dalam Dewan Rakyat sehingga hari terakhir persidangan. Tidak ada Laporan
PAC tersebut dibentangkan.
Walaupun sudah terlambat,
tetapi saya percaya demi kebaikan rakyat dan negara, Perdana Menteri Muhyiddin
Yassin perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya segera membuka sidang
Parlimen, sekurang-kurangnya khusus untuk isu pemerolehan vaksin, program vaksinasi
kebangsaan dan perang menamatkan Pandemik Covid-19.
Saya percaya Khairi Jamaludin
sebagai Menteri yang bertanggungjawab bersedia untuk menghadapi ahli-ahli
Parlimen bagi menjelaskan beberapa perkara yang mendesak sekarang, antaranya,
pertama, isu mempercepatkan penglibatan kerajaan negeri dalam pemerolehan
vaksin. Kedua, isu berkenaan peranan penting sektor swasta untuk membantu
meringankan beban kerajaan dalam mendapatkan vaksin untuk para pekerja mereka.
Ketiga, Menteri MOSTI itu dapat berkongsi pandangan dan menerima pandangan
balas dengan ahli parlimen berkenaan roadmap program vaksinasi kebangsaan.
Saya percaya, dalam soal
pemerolehan vaksin, program vaksinasi kebangsaan dan perang mengalahkan
pandemik Covid-19, Menteri Khairi Jamaludin, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim
dan semua ahli parlimen, baik kerajaan Perikatan Nasional, pembangkang (Pakatan
Harapan) ataupun bebas tanpa parti akan berdiri bersama-sama sebagai patriot
Malaysia yang sanggup ketepikan politik sempit, pandangan sektarian yang
tersisih serta ideologi yang tersasar, secara bipartisan sedia untuk
bekerjasama demi rakyat dan negara.
Ini satu usaha united front
melawan musuh bersama. Masih belum lagi terlambat. Jangan terlepas peluang yang
amat penting ini untuk selamatkan nyawa rakyat.
Sekian
Hassan Abdul Karim,
Ahli Parlimen Pasir Gudang
21 Mei 2021 (Jumaat)