Kerajaan Kelantan tidak beri bantuan, rakyat gelisah
Kerajaan Negeri Kelantan dikritik rakyat kerana tidak mengumumkan sebarang bantuan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Tambahan pula, Kerajaan Negeri bukan lagi pembangkang dan tiada masalah memohon bantuan tertentu dari kerajaan Perikatan Nasional di peringkat persekutuan.
Bagi Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hassan, kerajaan sepatutnya mencontohi negeri yang ditadbir Pakatan Harapan seperti Selangor, Pulau Pinang atau Negeri Sembilan yang menyediakan bantuan tertentu kepada golongan memerlukan.
“PKP sebelum ini rakyat di Kelantan banyak bersuara.
“Bila PKP 3.0 dilancarkan sehingga hari ini perniagaan ditutup hingga jam 8.00 malam dan seperti mana kita ketahui di Kelantan kebanyakannya adalah peniaga dan penjaja kecil, kais pagi makan pagi, tak kerja tak ada pendapatan. Hari ini kita agak kecewa kebanyakan menteri sendiri pun tidak mengumumkan apa-apa bantuan dari kerajaan
“Sedangkan Kerajaan Negeri sudah mendapat wang ehsan, dan gaji pun telah dinaikkan dan mereka pun berkereta mewah,” katanya.
Menurut Zinda, seharusnya wakil-wakil rakyat Kelantan berkorban memotong gaji dan elaun untuk memberi bantuan kepada rakyat sekiranya kewangan negeri tidak mencukupi.
Katanya, tindakan kerajaan Kelantan sekarang tidak bersesuaian dengan imej kebajikan Islam yang diperjuangkan.
“Amat menyedihkan kerajaan melaung-laungkan membangun bersama Islam, negeri berkebajikan. Tetapi yang kita tengok rakyat semakin hari semakin menderita, tak boleh buat kerja.
“Pemimpin pula diam seribu bahasa. Ibarat menunggu sahaja apa yang akan berlaku,” katanya.
Beliau mengulas video keluhan rakyat yang tular baru-baru ini mendakwa Kerajaan Negeri tidak memberikan bantuan PKP.
Rakyat dalam video itu berkata: “Mana pitih Kerajaan Negeri kalau beras sekampit seorang pun tak apa. Ni dok mentekedarah puak-puak demo je.
“Apa harta Kerajaan Negeri kaut puak demo. Keter kecik pakai keter besar, elaun penaik, gaji naik. Rakyat mampuh lo ni.
“Mu reti sikit pilihan raya ni, mu reti sikit. Buat perbodoh depan rakyat. Rakyat tak bodoh la ni, reti sangat wakil-wakil rakyat di Kelantan ni.”