Covid 19 tidak terkawal, ubah strategi, buka Parlimen
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengubah strategi menangani pandemik Covid 19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden petang tadi, strategi sedia ada yang kabur tidak wajar diteruskan ketika jangkitan harian menghampiri 7,000 kes, unit rawatan rapi hospital semakin tidak mencukupi dan kematian melebihi 60 orang sehari.
Mereka mempersoalkan sikap kerajaan PN yang terus menerus menutup Parlimen dan menghindari ruang perbincangan antara kerajaan dan pembangkang bagi menangani bersama situasi Covid.
“Kes harian Covid-19 yang melonjak sejak Darurat diisytiharkan dan Parlimen ditutup jelas menunjukkan kegagalan Kerajaan PN untuk menangani Covid-19 dengan sendirinya. “Lockdown” kendiri politik ini sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan Kerajaan PN yang kehilangan majoriti di Parlimen.
“Malangnya “lockdown” politik ini tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak dan imbang telahpun memburukkan pandemik Covid sepertimana yang dipersetujui oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Pengerang Azlina Othman Said hari ini.
“Maka dalam keadaan hampir semua Ahli Parlimen telah menerima vaksin, Majlis Presiden menggesa semua Ahli Parlimen untuk bersama menuntut agar Parlimen dibuka semula,” kata mereka.
Pada masa yang sama, kata kenyataan itu, Majlis Presiden juga mengambil berat terhadap kemarahan rakyat terkait Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang mengelirukan, sering bertukar-tukar atau “U-turn” dan penguatkuasaan ‘Antara Dua Darjat’ di antara VIP dan rakyat biasa.
Selain itu, Majlis Presiden mengambil maklum kadar pemberian vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac masih belum mencapai kadar yang dijanjikan kerana dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu bekalan, isu pemberian vaksin termasuk dos vaksin AstraZeneca yang tidak mencukupi, serta isu pendaftaran yang amat menyukarkan rakyat sungguhpun RM70 juta telahpun dibelanjakan untuk sistem laman web.
“Kadar pemberian vaksin perlu disegerakan terutama apabila keperluan dana RM5 bilion telah pun tercapai dengan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen, untuk kos pembelian dan pelaksanaan.
“Majlis Presiden juga menggesa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) agar mempercepat kelulusan vaksin-vaksin Sinopharm, Sputnik V dan Moderna supaya sasaran imunisasi kelompok dapat dicapai dengan lebih pantas memandangkan vaksin Sinopharm telah menerima kelulusan WHO dan Sputnik V serta Moderna telah mula diguna di pelbagai negara
“Sejak Darurat berkuatkuasa pada 11 Januari lalu hingga ke hari ini, walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, namun berdasarkan data dan bukti sedia ada, jelas kuasa Darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius. Kerajaan Perikatan Nasional dalam hal ini jelas telah gagal,” kata mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH sebelum ini telah menegaskan melalui wakil PH di dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bahawa Darurat bukan sahaja tidak perlu dipanjangkan lebih dari 1 Ogos 2021, malah perlu ditamatkan segera.
Sehubungan itu, Parlimen harus bersidang segera untuk memulihkan demokrasi.
“Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, Pakatan Harapan terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam Jawatankuasa tersebut, atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai “pelitup muka” untuk mengiakan segala penggunaan kuasa Darurat yang mengetepikan Parlimen
“Strategi menangani Covid-19 sedia ada juga memerlukan penjajaran semula (realignment), dan Majlis Presiden telah mengarahkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pakatan Harapan yang berkaitan untuk mengadakan perbincangan segera bagi meneliti dasar-dasar yang diperlukan untuk menyelamatkan negara dari pandemik ini,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Preiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.