POSTED BY AMIR WRLR
Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan perlu meletak jawatan
kerana gagal menyelia pengurusan sekolah mendepani wabak Covid 19.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang berkata demikian kerana ketidaktentuan polisi kerajaan Perikatan Nasional berhubung kaedah pembelajaran di sekolah yang tiada garis panduan jelas dalam menghadapi norma baharu pendidikan.
"Kami mengambil maklum kegelisahan dan keresahan yang dialami para guru, ibu bapa, pelajar dan masyarakat berkaitan kes Covid-19 melibatkan kluster Pendidikan yang semakin meningkat mutakhir ini.
"Kami juga maklum usaha pembukaan sekolah secara berperingkat pada tahun ini yang dilakukan secara tergesa-gesa sejurus tidak lama selepas PdPR diumumkan tanpa disertai penerangan yang jelas kepada masyarakat tentang pelan dan mekanisme pembelajaran
dalam norma baharu melibatkan sekolah, jika terdapat kes-kes di
sekolah apabila sekolah dibuka," kata mereka dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli-ahli Parlimen pembangkang itu, para guru telah cuba melakukan Prosidur Operasi Standard (SOP) terbaik untuk menghindari Covid 19 daripada merebak dalam kalangan pelajar namun mereka tidak pasti bagaimana untuk menguruskan pelajar yang begitu banyak dalam satu-satu masa kerana tidak dibekalkan SOP yang mantap.
"Kami mengiktiraf usaha bersepadu pihak pengurusan sekolah dan para guru di seluruh negara dalam mematuhi SOP yang diberikan, di samping memastikan pendidikan terus berjalan demi kesejahteraan dan masa depan anak-anak bangsa.
"Kami akur usaha mengekang Covid-19 dari merebak, lantas memutuskan rantaian jangkitan wabak menuntut usaha bersepadu semua pihak tanpa kompromi dengan mana-mana individu mahupun keadaan demi memastikan keberkesanan usaha terangkum tersebut.
"Apa yang berlaku kini, pihak pengurusan sekolah hilang arah dan punca apabila berlaku peningkatan kes di sekolah, tetapi mereka tidak dipersiap untuk PdPR di kala sekolah ditutup. Malah pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan masih tidak kelihatan.
"Rakyat umumnya kabur tentang hala tuju dan pelan tindakan pihak kementerian berkaitan pendidikan kerana tidak wujud ketelusan maklumat dari KPM kepada rakyat.
"Apa yang pasti, kemarahan rakyat terutamanya para guru, pentadbir sekolah dan ibubapa terhadap kerajaan dan KPM yang diwakili Menteri dan dua timbalan menterinya adalah berhubung lemahnya pengendalian mereka terhadap situasi terkini dan dapat dilihat sama ada di peringkat bawahan mahupun di media-media sosial," kata mereka.
Sehubungan itu, mereka berpendapat sewajarnya Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan berundur, memberi peluang kepada pemimpin lain yang lebih berwibawa untuk menggalas tugas menyelamatkan pelajar-pelajar daripada dijangkiti virus maut Covid 19 tetapi dalam masa sama tidak mengorbankan pendidikan kepada generasi masa hadapan.
"Atas kesedaran ini, kami mewakili semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang lain mendesak agar Menteri Pendidikan beserta kedua-kedua timbalannya yang dilihat gagal dalam melaksanakan tugas seperti yang diharapkan rakyat, supaya segera berundur demi masa depan rakyat dan negara tercinta," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Dr Maszlee Malik (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan), Nik Nazmi Nik Ahmad (KEADILAN), Teo Nie Ching (DAP), Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah), Wilfred Madius Tangau (Upko), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda), Amiruddin Hamzah (Pejuang) dan Ahmad Hassan (Warisan).