Esok MT UMNO akan bermesyuarat, mesyuarat pertama sebaik berakhirnya PAU2020 pada 28 Mac lalu yang telah memuktamadkan ketetapan putus hubungan dengan Bersatu.
Sejak itu, perbalahan dalam UMNO ternampak kian ketara, terutama serangan daripada kluster menteri yang nampaknya tidak senang hati dengan keputusan tersebut.
Lantaran itu, beberapa pemimpin kluster menteri menggesa agar pemilihan UMNO disegerakan, suatu isyarat untuk menyingkirkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan seterusnya mengubah keputusan putus hubungan itu.
Kluster menteri adalah jelas dengan pendirian mahu UMNO terus bekerjasama dengan Bersatu dan mengekalkan lagi Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.
Dengan sebahagian besar kluster menteri tiada jawatan dalam hieraki UMNO, tetapi diberikan jawatan dalam kabinet, atas rasa terhutang budi, mereka lebih selesa untuk terus mengekalkan lagi Mahiaddin di kerusi kuasanya.
Untuk itu, mesyuarat MT UMNO esok dijangka bukan saja akan memuktamadkan sama ada pemilihan UMNO perlu ditangguhkan atau tidak, tetapi juga membuat keputusan berkenaan bila UMNO harus keluar daripada kerajaan PN.
Sejak ketetapan PAU2020, meskipun dimuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, tetapi tiada tarikh ditetapkan untuk UMNO menarik diri daripada kerajaan.
Keadaan itu menimbulkan kekeliruan kepada ahli UMNO dan seluruh rakyat kerana sementara ketetapan putus hubungan sudah dimuktamadkan, sebaliknya UMNO masih terus berada di dalam kerajaan dan bersama-sama dengan Bersatu serta Mahiaddin mengurus negara.
Lebih daripada itu, beberapa pemimpin UMNO pula seperti Presiden, Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Mohamad Hasan, bekas Presiden, Najib Razak, Setiausaha Agung, Ahmad Maslan, Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa pemimpin yang lain, sentiasa saja mengkritik kerajaan secara terbuka melalui media sosial berkenaan keputusan yang dibuat oleh Mahiaddin.
Ehhh…apa hal UMNO ni, dia sebahagian daripada kerajaan, tetapi dia sendiri asyik mengkritik dan mengutuk kerajaan – itulah rungutan majoriti rakyat yang banyak kedengaran.
Sebab itu, bagi banyak pihak, langkah yang terbaik ialah UMNO mesti segera meninggalkan kerajaan jika tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu dan Mahiaddin.
Selepas itu, nak kritik atau kutuk kerajaan, buatlah sebebas dan semahunya waima sampai bumi terbalik sekali pun.
Selain itu, dengan membuat keputusan meninggalkan kerajaan secara serta-merta juga akan memudahkan UMNO mengatur langkah seterusnya kerana akan diketuai sama ada kluster menteri sedia akur dengan keputusan parti atau sebaliknya.
Jika mereka tidak sedia mematuhi keputusan parti dan ingin terus kekal berada dalam kabinet, pilihannya sama ada mereka menyertai Bersatu atau UMNO boleh mengambil tindakan disiplin.
Maknanya, MT UMNO esok, mahu tidak mahu, wajib membuat keputusan atau ketetapan meninggalkan kerajaan dengan segera dan serta-merta, sesuai dengan persetujuan akar umbi melalui PAU2020 yang tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu.
Selepas tidak lagi berada dalam kerajaan, memutuskan sama ada pemilihan UMNO perlu diterus atau ditangguhkan juga pastinya boleh dibuat dalam keadaan tenang dan jiwa yang aman.
Kalau esok tiada apa-apa keputusan yang berani dibuat, yang pasti rakyat akan jadi tambah bosan dengan UMNO dan mungkin mereka tiada peluang sama sekali untuk menang pada PRU15 akan datang.
Satu lagi, jika esok tidak berani juga membuat keputusan keluar kerajaan, semua pemimpin UMNO yang tiada jawatan dalam kerajaan haruslah berhenti serta-merta daripada mengkritik dan mengutuk kerajaan PN yang sama-sama mereka sokong sekarang ini.
Lebih baiklah mereka beralih kepada mula mengutuk diri sendiri pula. (Shahbudindotcom 24/04/2021)