Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh mencadangkan nama calon lain untuk menjadi Perdana Menteri seandainya UMNO membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman.
Beliau berkata, Presiden UMNO itu juga boleh terus kekal di jawatannya sebelum mandat baharu parti selepas PRU15 kelak.
Jelasnya, strategi itu perlu dilakukan segera dan kelewatan akan menyebabkan parti kucar-kacir.
“Dari segi kita untuk menghadapi PRU, dia (Ahmad Zahid) adalah presiden. Apakah kesan dan strategi dalam mengendali isu ini, dia boleh mengubah keadaan kalau dia mencadangkan orang lain sebagai Perdana Menteri, keadaan berubah.
“Dia sebagai presiden hanya membantu hendak hadapi pilihan raya dengan mengemukakan orang yang lebih baik untuk dijadikan calon perdana menteri. Itu tidak ada hal, boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mengenai sama ada Ahmad Zahid boleh menjadi calon Perdana Menteri, katanya berdasarkan keadaan semasa, Presiden UMNO itu tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.
Sebelum ini, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, Ahmad Zahid Hamidi akan dilihat lebih mengutamakan kepentingan peribadi oleh ahli akar umbi sekiranya tidak segera berundur dari jawatan Presiden UMNO.
Jelasnya, ia sekali gus akan melakar semula perjalanan parti itu dalam landskap politik tanah air.
Dalam pada itu kata Ahmad Tajuddin, isu tiada kerjasama dengan DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang jelas diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini juga tidak mustahil mungkin berubah selepas PRU15 kelak.
Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk perkara yang dianggap tidak logik dalam politik.
Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini tidak menolak kemungkinan UMNO boleh menjalinkan hubungan dengan DAP kerana mempunyai pengalaman bekerjasama dengan MCA sejak sekian lama.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, MCA yang kini bersama-sama dengan UMNO dalam Barisan Nasional juga pernah dilihat ‘melampau’ suatu ketika dahulu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga pernah bergurau dengan berkata beliau merupakan calon Perdana Menteri yang paling sesuai bagi UMNO sekiranya parti tersebut menang dalam PRU15.