Panas! Peja bagi signal akan kembali jadi MB Perak?

 


Panas! Peja bagi signal akan kembali jadi MB Perak?

Bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu membayangkan akan kembali menjadi pemimpin nombor satu negeri itu selepas meletak jawatan pada 5 Disember tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan Faizal dalam ucapannya malam tadi ketika majlis sambutan ulang tahun PPBM Sabah di Kota Kinabalu.

“Satu-satunya negeri yang dipimpin oleh (pemimpin) PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) adalah di Sabah selepas menteri besar Perak direhatkan sebelum ini.

“Tapi seperti kata (filem) ‘Terminator’, ‘I’ll be back’,” katanya yang juga timbalan presiden PPBM.

Sementara itu, Faizal berkata, ungkapan PPBM sebagai parti ‘setahun jagung’ adalah satu ungkapan yang lapuk dan tidak boleh diguna pakai lagi.

Katanya, walaupun PPBM adalah parti baharu, kejayaan dan pencapaian parti itu sama ada di peringkat persekutuan mahupun di Sabah adalah fakta serta hakikat yang perlu diterima.

“Kononnya (PPBM) parti baru setahun jagung, tidak boleh memimpin dan harus dipimpin, tapi istilah itu dalam politik sudah lapuk serta tidak tepat kerana apa yang penting kehadiran dan kemampuan kita diterima rakyat seluruhnya, tidak perlu gusar dengan ejekan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPBM Sabah memperolehi pencapaian luar biasa walaupun usianya di negeri itu baru berusia dua tahun.

Katanya, kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Walau baru (berusia) dua tahun, impak dan kesan serta rasa positif rakyat Sabah kepada parti ini adalah sesuatu yang luar biasa dan pencapaiannya melangkaui jangkaan.

“Kejayaan ini tidak berlaku secara tiba-tiba atau kebetulan, semuanya kerana usaha dan kesungguhan, hasil kerja keras seluruh jentera PPBM Sabah,” katanya.