Penduduk Kampung Peel, di Parlimen Titiwangsa, memohon kerajaan
memberikan mereka rumah PPR sebelum merobohkan penempatan sedia ada yang
berusia 65 tahun.
Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang memperjuangkan nasib
penduduk Kampung Peel sejak sebulan lalu berkata, masalah kediaman sangat
penting diberi perhatian oleh kerajaan kerana pemaju dan pemilik tanah, Urban
Development Authority (UDA) yang mahu penduduk itu berpindah hanya akan
membayar pampasan sejumlah RM10,000 ke RM15,000 yang tidak cukup untuk membeli
rumah baharu.
"Penduduk dalam120 rumah di sini, setelah pemaju
mengambilalih tanah, mereka mendapat notis berpindah kali pertama pada 2018.
"Apabila dapat notis mereka rasa keliru dan berjumpa dengan
Ahli Parlimen Titiwangsa YB Rina Harun.
"Tetapi mereka kata tak ada apa-apa jawapan dari Ahli
Parlimen. Apabila terjadi PKP dan sebagainya masa berjalan satu tahun. Kes
pertama mereka berkaitan status tanah mereka menang di mahkamah. Sebab pihak
pemaju atau pun UDA kata mereka penduduk tidak sah di tanah mereka.
"Mereka menang kerana terdapat bukti tinggal di kampung ini
65 tahun dengan dokumen-dokumen TOL.
"Apabila menang pemaju bawa satu lagi kes, hak milik tanah.
Kes itu di Mahkamah Tinggi. Kita jangka keputusan mahkamah memihak
pemaju," katanya dalam sidang media semalam.
Prabakaran membacakan
memorandum tuntut rumah PPR
Bagaimanapun Praba membangkitkan isu pampasan yang kecil dan
perlunya penduduk mendapat rumah gantian yang sesuai sebelum mereka disuruh
berpindah.
"Di sini isu pampasan timbul. Mula-mula mereka dijanji
RM10,000. Ada rundingan, sekarang saya dengar RM15,000.
"Apa yang penduduk mahu bukan sahaja duit. Kalau ambil duit
pun mereka tiada rumah. Itu yang menjadi masalah utama di Kg Peel ini. Kalau
ambil duit sahaja tiada rumah, di mana nak pergi?" tanyanya.
Lebih bermasalah, kata Prabakaran, pihak DBKL tidak mahu
campurtangan dalam isu berkenaan dengan beralasan mereka tidak terlibat
sekiranya tanah yang diduduki penduduk bukan tanah kerajaan.
Menurut Praba, kerajaan seharusnya lebih bertimbang rasa kerana
dalam kalangan penduduk terdapat golongan B40 yang perlu dibantu dan dibela
nasib mereka.
"Bila saya hubungi DBKL dua minggu lalu mereka kata tidak
bertanggungjawab atas tanah swasta. Kalau libatkan tanah persendirian DBKL
tidak akan bantu. DBKL hanya ambil data bancian. Apabila DBKL tidak bantu,
pihak pemaju tidak bantu, penduduk di sini bermasalah.
"Untuk pengetahuan di sini banyak golongan B40. Apabila kita
bincang dengan Ketua Kampung mereka mahu rumah PPR untuk penduduk yang layak.
Yang tak layak PPR, mereka mohon diskaun ke atas projek perumahan akan datang
untuk mereka beli.
"Tuntutan itu adil kerana mereka meneroka lebih 50 tahun.
"Saya dapat temujanji dengan pengerusi UDA Khamis ini, jumpa
beliau bincang untuk bantu penduduk di sini.Saya juga akan jumpa Datuk Bandar
untuk bincang balik. Saya akan memohon Datuk Bandar supaya beri rumah PPR
kepada penduduk yang layak. Saya rasa ada 89 keluarga layak untuk rumah
PPR," katanya lagi.