Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif
Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan jauh sebelumnya pun pada
PRU13,12,11 dan 10, malahan sejak penyertaan pertama parti Pas dalam politik di
Tanah Melayu, kita sering mendengar ucapan yang keluar dari mulut pimpinan
mereka bahawa memilih atau mengundi Pas nescaya Islam akan didaulatkan dan akan
selamatlah umat Melayu di Malaysia ini.
Pas selalu menyakinkan para pengikutnya dan orang ramai bahawa
apabila mereka dapat mengambil alih Putrajaya maka umat Islam dan orang Melayu
tidak lagi perlu risau akan keterancaman mereka dari orang-orang selain Melayu
dan Islam akan kembali berdaulat.
Apa yang dibanggakan dengan Pas?
Ditakdirkan oleh Allah swt Pas telah berjaya ke Putrajaya setelah
bertungkus lumus menyokong usaha-usaha pembentukan sebuah kerajaan yang
diwujudkan bukan atas dasar kemenangan dalam pilihan raya umum, tetapi atas
dasar “keinganan berkuasa” dan tanpa mempedulikan soal maruah serta rasa malu.
Pas bersetuju menjadi pemerintah bersama-sama kumpulan pengkhianat
KEADILAN dan Bersatu. Hampir satu Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri sekarang
yang mengetuai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pernah berkata Pas adalah
‘Parti Ajaran Sesat’ dan Pas sedikitpun tanpa rasa malu bersama dengan Perdana
Menteri tersebut.
Syed Mohd Al Amin Tuan Sharif
Sesungguhnya apa yang berlaku pada hari ini apabila Pas telah
menjadi sebahagian kerajaan persekutuan Perikatan Nasional walaupun secara
tebuk atap, tidak ada suatu perkara yang benar-benar boleh dibanggakan dengan
perjuangan Pas dalam usaha mendaulatkan Islam.
Malah sebagai pemerintah yang telah menyokong ‘Kerajaan Melayu
Islam’ kononnya, Pas telah membiarkan Islam diperlekehkan tanpa pembelaan
tegas. Beberapa isu dan situasi yang telah berlaku membuktikan Pas bukanlah
pejuang Islam yang tulen dan ikhlas.
Kekerapan cabutan judi bertambah
Pertama, apabila pentadbiran PN yang diketuai oleh Tan Sri
Muhyiddin Yassin telah memberi persetujuan menambah jumlah kekerapan cabutan
khas judi dari 8 kali setahun (yang ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan
sebelum ini) kepada 22 kali setahun, Dewan Pemuda Pas hanya berani menzahirkan
rasa kebimbangan terhadap keputusan yang dibuat oleh Kerajaan PN tersebut.
Apa yang jelas kehadiran Pas dalam kerajaan PN sedikit pun tidak
memungkinkan penambahan kekerapan 22 kali cabutan khas judi tersebut ditarik
balik malah terpaksa merelakan sahaja ia berlaku.
Adalah diyakini bahawa para ulamak dan ustaz sama ada di dalam dan
di luar Pas cukup arif bahawa judi adalah antara perkara yang dilarang dan
dibenci dalam Islam. Seorang penceramah agama tersohor Terengganu, Ustaz Azhar
Idris pernah menyebut tentang perkara judi ini dalam kuliah-kuliahnya. Menurut
Ustaz Azhar, judi boleh membawa kepada kerosakan masyarakat dan membenihkan
lebih banyak masalah sosial.
Usaha mendaulatkan Islam dengan mengawal perjudian dari lebih
membarah bukan sahaja gagal ditangani Pas malah pemimpin parti yang mendakwa
sentiasa mendaulatkan Islam itu tidak berani bertegas untuk Islam demi menjaga
“kerusi dan kuasa”.
Untuk rekod, cabutan khas judi Magnum, Sport Toto, Da Ma Cai
sebanyak 22 kali setahun tetap diteruskan mulai Januari 2021 dan Pas gagal
mempertahankan kemungkaran “lebih besar” tersebut dari berlaku.
Pas pejam mata pertandingan ratu cantik?
Kedua, ketika timbul isu pertandingan ratu cantik Miss/Mrs Plus
World Malaysia 2020 pada awal Januari 2021 lepas yang turut disertai oleh
wanita Islam, pentadbiran PN yang disertai oleh Pas tidak menghalang apatah
lagi mengarahkan pembatalan pertandingan ratu cantik tersebut. Umat Islam di
Malaysia sebahagian besarnya sedia maklum akan adanya fatwa tentang larangan
pertandingan ratu cantik dan perkara yang berkaitan dengannya.
Fatwa yang diwarta pada 11 Mei 1995 di Selangor jelas menyebut
‘Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu
cantik’. Begitu juga fatwa yang diwartakan di Wilayah Persekutuan pada 8
Februari 1996 yang menyatakan ‘Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam
menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran
apa-apa pertandingan ratu cantik’.
Kehebatan Pas dalam isu ini hanyalah sekadar memberi laluan kepada
mantan Ketua Pemudanya yang kini dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah
Islam Malaysia (YADIM) untuk menyuarakan bantahan kepada penganjur! Beliau
bukannya menyuarakan bantahan kepada kerajaan PN yang mempunyai kuasa untuk
membatalkan pertandingan tersebut tetapi sekadar menyatakan bantahan kepada
penganjur pertandingan sahaja.
Sebagai seorang pemuda hebat yang dulunya sangat vokal dalam
“mempertahankan” Islam bersama partinya, itu sahajalah “kemampuan” beliau
sekarang dalam menangani isu pertandingan ratu cantik tersebut.
Apakah fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama
negeri-negeri sebelum ini “tidak mempunyai nilai dan tidak berbaloi” untuk
dipertahankan oleh pimpinan ulamak Pas atau ustaz-ustaz Pas dengan tegas dan
bersungguh-sungguh? Apakah kelunakan dan keselesaan mereka terhadap “kuasa
pemerintahan” yang Allah pinjamkan kepada mereka menjadikan diri mereka "sejuk"
dalam mendaulatkan dan mempertahankan Islam?
Mereka sepertinya jauh sekali untuk bersungguh-sungguh, tegas,
lantang seperti sebelum mereka berkuasa? Dengan segala macam himpunan bantahan
itu dan bantahan ini sebelumnya, tetapi kali ini apabila setelah berkuasa tidak
menggunakan kuasa itu untuk mencegahnya.
RUU 355 tinggal sejarah?
Ketiga, pembentangan kali kedua Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) atau lebih terkenal dengan singkatan RUU355,
sebagaimana Pindaan Usul yang dikemukan pertama kali oleh Ahli Parlimen Marang
dari Pas pada 24 November 2016 dulu, sehingga ke hari ini masih belum berlaku.
Selepas setahun kerajaan persekutuan PN dokongan Pas bersama 2 buah parti utama
“Orang Melayu-Islam”, usaha ke arah pembentangan RUU355 tidak menampakkan
sebarang kemajuan yang jelas.
Bila diajukan soalan, Menteri Agama kerajaan PN hanya mampu
berharap ianya dapat dibentangkan sebelum beliau meninggal dunia. Manakala
Timbalan Menteri Agama dari Pas menyatakan ia perlu mengikut tertib tertentu
dan banyak prosedur sebelum dibentangkan. Kata Timbalan Menteri Agama lagi
proses tersebut termasuklah mengadakan perbincangan dengan semua negeri,
kemudian dibawa ke Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam, seterusnya dibawa
kepada Majlis Raja-Raja, selepas itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan
Agong sebelum pembentangan di Parlimen. Ia sepertinya “sungguh susah dan lama
lagi”.
Ketika ditanya soalan kepada Perdana Menteri di Parlimen sebelum
ini oleh wakil Tampin Datuk Dr Hasan Bahrom berhubung tempoh masa pembentangan
kali kedua RUU355 tersebut, Timbalan Menteri Agama yang menjawab bagi pihak
Perdana Menteri hanya mampu berkata “kerajaan sentiasa terbuka terhadap
cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai
pihak..dan cadangan ini (RUU355) memerlukan pertimbangan dan penelitian secara
menyeluruh..” tanpa berani dan bersedia untuk memaklumkan masa sebenar atau
jangka masa ianya akan dibentangkan.
Ini dengan jelas menunjukkan bahawa penyertaan Pas dalam kerajaan
persekutuan PN tidak menjadikan mereka lebih ke hadapan dan lebih berkuasa
membawa RUU355 ke Parlimen untuk bacaan kali kedua.
Islam sekali lagi tidak mampu didaulatkan melalui kuasa politik
dan pemerintahan yang dimiliki Pas ketika ini. Pas terpaksa berhadapan dengan
Umno dan Bersatu jika ingin menyegera dan merealisasikan perkara ini.
Walaupun ketiga-tiga Pas-Umno-Bersatu adalah ‘Kerajaan Melayu
Islam’ tetapi lakonan politik mereka khususnya dalam perkara RUU355 suatu hari
akan memakan diri mereka sendiri.
Mengenang kembali kesungguhan luar biasa Pas yang menganjur dan
mengumpulkan 50,000 orang di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Februari 2017
termasuklah Timbalan Presiden Pas sendiri yang menjadi Pengerusi Sekretariat
perhimpunan tersebut, berbanding dengan “kesungguhan” 3 orang pimpinan
tertinggi Pas (termasuk Timbalan Presiden Pas sendiri) yang menjadi Menteri
Kabinet ketika ini, perbezaan itu amat ketara.
Dengan tiada satu pun kertas kabinet berhubung RUU355 diusahakan
oleh mereka bertiga sejak setahun lepas, kita mula meragui dan persoalkan
komitmen serta motif mereka sebenarnya. Mereka dengan jelas hanya menagih undi
untuk habuan yang sedang dikecapi ketika ini. Yang jelas, lain dimulut, lain
yang dibuat.
Jika dulu Pasberkobar-kobar inginkan RUU355 ini disegerakan,
sekarang semua berubah.
Berapa segerakah Pas ingin RUU355 dibentangkan? Apakah RUU355 akan
dibentang dalam tempoh selepas setahun ini? Atau tahun depan? Atau tahun depan
selepas tahun depan? Atau selepas tumbangnya PN dalam PRU15? Atau tumbang lebih
awal. Wallahualam. Yang pasti sekarang ini tiada komitmen sahih tentang masa.
Atau benarkah Kerajaan PN telah kehilangan majoriti yang ketara?
Islam tidak didaulatkan
Rumusan yang boleh diutarakan di sini wajar didahului dengan satu
soalan mudah : Apakah Islam telah didaulatkan sewajarnya dalam tempoh setahun
Pas menyertai dan menjadi Kerajaan Persekutan bersama Umno dan Bersatu? Sudah
pasti tidak!
Rupanya mendaulatkan Islam itu bukannya dengan menumpang bahtera
nasionalisme Umno dan bahtera ketuanan Bersatu.
Sesudah segala perlekehan terhadap Islam (seperti tambah judi,
izin ratu cantik, janji RUU355 belum tertunai) yang terus berlaku walaupun di
bawah pemerintahan bersama Pas, iaitu sebuah parti yang mengaku mendaulatkan
Islam, barulah diketahui bahawa mendaulatkan Islam itu sesekali bukan dengan
menumpang jawatan menteri dan habuan GLC.
Mendaulatkan Islam itu sebenarnya hanya berlaku dengan keikhlasan
dan ketakwaan hambaNya terhadap Allah, serta amat takut akan pembalasan dan
pengadilan-Nya yang Maha Adil.
Apa yang nyata sekarang, memilih Pas bukanlah jaminan bahawa Islam
didaulatkan!
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu