Penafian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa
mereka tidak dijadikan alat politik oleh parti pemerintah menyiasat ahli-ahli
politik pembangkang tertentu sebagaimana didakwa beberapa pihak, diterima baik
oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, menurut Anwar, SPRM perlu membuktikan ketelusan mereka dengan menyiasat laporan-laporan yang telah dibuat selama ini berhubung usaha sogokan politik.
"Kenyataan itu umum, saya percaya SPRM boleh telus jalankan tugas kerana orang-orang ini (Ahli Parlimen pembangkang) juga dipanggil oleh orang tertentu dan diberikan maklumat atau percubaan untuk menyogok.
"Laporan banyak dibuat tentang kontrak-kontrak yang melibatkan menteri, Perdana Menteri (PM) belum ada maklumat siasatan sama sekali.
"Bagi saya harus telus, tak peduli siapa, harus ada tindakan. Kalau SPRM kata dia telus saya nak tanya apa yang berlaku kepada puluhan laporan melibatkan menteri yang mewah yang belanja terang-terang jutaan ringgit, yang menyogok orang.
"Maklumat ini sudah diketahui, sudah disampaikan dan laporan polis sudah dibuat," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan, SPRM wajar bertindak tegas tanpa memilih mangsa sebagaimana yang didakwa berlaku dalam pentadbiran beberapa perdana menteri yang lepas.
"Saya ucap terima kasih kepada SPRM mengukuhkan pandangan mereka bertindak secara profesional, tetapi saya nak ini dibuktikan dengan tindakan yang tidak memilih bulu, sama ada pembangkang atau kerajaan
"Kita kena hentikan budaya ini. Bila BN perintah pembangkang kena. Bila PH perintah, dalam soal wang 1MDB Ahli Parlimen yang bersama Umno diambil tindakan, Ahli Parlimen Umno yang melompat ke Bersatu dilepaskan. Saya tidak setuju.
"Kemudian sekarang Perikatan Nasional, orang sekongkol di keliling, menteri semua tidak diambil tindakan. Ini rahsia umum. Kalau rahsia umum tidak diketahui SPRM, sila jumpa saya, kita boleh bincang," katanya.
Menjawab pertanyaan wartawan dakwaan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa bahawa Presiden KEADILAN mempengaruhi keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, Anwar menolak dakwaan tersebut.
"Annuar Musa ini saya tak tau dia wakili siapa dan maklumat dari mana. Nampak dia terdesak. Soal nak jaga jawatan dia jagalah, tetapi jangan sentuh orang lain.
"Saya ingat politik dia hanya nak jaga jawatan menteri. Dia tak peduli parti, tak peduli dia cakap benar atau tidak," katanya kepada wartawan selepas program pemantapan parti menjelang pilihan raya di Port Dickson semalam.
Kelmarin, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan mengecam penyalahgunaan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk 'menekan' Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, pegawai-pegawai malah juga ahli-ahli keluarga mereka dalam usaha mengukuhkan parti pemerintah.
PH menyifatkan usaha itu sebagai tindakan tidak bermaruah serta mengenepikan nilai-nilai demokrasi.