Mudahkan proses birokrasi, bantu nasib gelandangan



Srikandi KEADILAN Selangor, J Karen Kasturi menggesa pihak kerajaan supaya memudahkan proses birokrasi supaya sesiapa sahaja boleh membantu nasib gelandangan.



Ini kerana, beliau mendapati perlu melalui beberapa proses sebelum dibenarkan membantu gelandangan.



"Baru-baru ini, saya dihubungi untuk membantu seorang gelandangan di Pekan Kajang. Saya telah turun ke lokasi berkenaan untuk melihat gelandangan tersebut. Selepas itu, saya ke Balai Polis Kajang untuk meminta bantuan daripada pihak polis. Pihak polis juga telah turun ke lokasi tersebut dengan segera.



"Hasil perbincangan dengan pihak polis, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, saya mendapati bahawa terdapat birokrasi yang amat merumitkan untuk membantu golongan gelandangan ini," katanya.



Walaupun beliau enggan menyalahkan mana-mana pihak, kementerian yang berkaitan perlu mengambil tanggungjawab dalam melaraskan dan memudahkan proses birokrasi yang sedia ada.



"Pendekatan yang lebih mudah dan mesra dapat memudahkan masyarakat setempat yang ingin membantu dan berkerjasama dengan agensi kerajaan untuk membantu golongan gelandangan ini.



"Kementerian berkenanan perlu terus berusaha mengambil inisiatif-initiasif dalam mencari satu jalan penyelesaian yang praktikal dan berkesan bagi golongan gelandangan," katanya.



Karen juga menyeru pihak berkuasa untuk mengadakan Operasi Bersepadu bagi menyelamatkan golongan gelandangan dengan lebih kerap.



"Gelandangan tidak harus dibiarkan sebegitu sahaja. Mereka memerlukan tempat tinggal dan makanan, ini adalah keperluan asas dan kerajaan harus lebih peka, prihatin dan berkeperimanusian dalam menangani isu gelandangan," katanya.