Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mencadangkan beberapa cara yang
boleh mengekang amalan lompat parti.
Salah satunya adalah dengan memberikan peruntukan sama atau lebih
baik kepada Ahli Parlimen pembangkang berbanding wakil rakyat kerajaan, serta
memperuntukkan jawatan pengerusi Jawatankuasa Pilihan.
Beliau mengakui, penyelesaian terbaik ialah meminda Perlembagaan
Persekutuan untuk menghalang amalan lompat parti.
Namun, katanya hampir mustahil untuk mendapatkan majoriti dua per
tiga yang diperlukan, namun ada penyelesaian boleh dilaksanakan lebih baik yang
hanya memerlukan majoriti mudah.
“Kebanyakan mereka yang melompat parti mendakwa mereka
melakukannya demi rakyat. Mereka mendakwa rakyat tiada wang, mereka pula tidak
mendapat peruntukan diperlukan untuk dibelanjakan bagi rakyat, jadi mereka
terpaksa menyertai kerajaan.
“Penyelesaiannya mudah, pastikan setiap Ahli Parlimen mendapat
jumlah peruntukan untuk masyarakat dan sumber yang sama," katanya dalam
rancangan temubual yang diadakan secara maya di akaun Facebook miliknya.
Beliau mengambil contoh bagaimana di Norway, wakil pembangkang
mendapat peruntukan lebih tinggi, memandangkan wakil rakyat kerajaan berpeluang
membuat permohonan khas kepada menteri mereka, tetapi bukannya Ahli Parlimen
pembangkang.
Malah, beliau berpendapat Ahli Parlimen tidak sepatutnya
dibenarkan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sebaliknya, semua Ahli Parlimen perlu diletakkan di Jawatankuasa
Pilihan yang akan membuka peluang untuk menerima elaun tambahan, sekiranya
dilantik menjadi pengerusi atau timbalan pengerusi.
Beliau juga mahu pengisytiharan aset diaudit kepada semua Ahli
Parlimen dan menganggap proses itu ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan
(PH) tidak dibuat dengan betul kerana ada wakil rakyat yang mengisytiharkan
jumlah aset rendah yang tidak masuk akal.
“Sebaik sahaja seseorang menjadi Ahli Parlimen, mereka patut
mendapat audit kemasukan dengan mengisytiharkan aset, kemudian juruaudit
profesional mengesahkannya dan ketua audit negara boleh menyiasat dari semasa
ke semasa untuk memastikan ia tepat," katanya.