Oleh: Hassan Abdul Karim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini benar-benar diuji
ketahanannya. Jika KEADILAN diibaratkan sebuah kapal, maka bahtera KEADILAN
kini sedang dilambung ombak dan dipukul badai di lautan yang bergelora.
Masakan tidak. Dalam masa dua minggu di bulan Mac 2021 ini sahaja,
KEADILAN telah hilang tiga orang Ahli Parlimennya yang meninggalkan parti dan
melompat menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya Perdana Menteri
(PM) Tan Sri Mahyuddin Yassin. Amat menakutkan dan ngeri memikirkan sejak
setahun lalu bermula dari Langkah Sheraton di minggu terakhir bulan Februari
2021, hingga ke saat ini belasan orang Ahli Parlimen KEADILAN telah
menggugurkan perjuangan reformasi dengan pelbagai alasan diberi. Secara yang
agak keterlaluan dan berlebih-lebihan saya sudah “lost count” bilangan Ahli
Parlimen KEADILAN yang melompat.
Sebagai seorang anggota kerdil KEADILAN dan seorang Ahli Parlimen
biasa KEADILAN, saya dapat menyaksikan sekarang bagaimana rakan-rakan Ahli
Parlimen kami dilambung ombak dengan janji-janji jawatan ataupun dipukul badai
dengan ancaman tangkapan Polis dan SPRM. Dan amat memilukan apabila saya
membaca komen-komen dari rakan-rakan Ahli Parlimen di blok pembangkang dari
parti sahabat KEADILAN yang mengutarakan pertanyaan seperti berikut: “Siapa
lagi yang kita boleh percaya sekarang?” yang bermaksud ditujukan kepada
Ahli-ahli Parlimen KEADILAN, setelah semalam 13 Mac 2021, Naib Presiden
KEADILAN, Ahli Parlimen Kuala Langat, bekas seorang menteri dalam Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) dan merupakkan tokoh reformasi serta antara pengasas Parti
Keadilan Nasional telah meninggalkan parti kerana ingin menyokong PM Muhyiddin.
KEADILAN dapat sokongan terbanyak
Namun malam tidak selamanya gelap memanjang. Esok pasti akan
muncul siang, dan dunia akan kembali terang. Saya memujuk diri sendiri dan
rakan-rakan anggota biasa KEADILAN di kawasan Parlimen saya, Pasir Gudang. Saya
teringat sajak-sajak Said Zahari dan Kassim Ahmad yang menyeru para pejuang
jangan patah semangat.
Lalu saya rujuk kembali akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Mac 2021.
Dari kaji selidik akhbar tersebut mendapati bahawa parti yang akan mendapat
sokongan tertinggi dalam PRU 15 ialah Parti Keadilan Rakyat, sebanyak 14.4%.
Manakala Parti PPBM (Bersatu) yang memimpin Kerajaan Perikatan Nasional
sekarang, di mana tempat ahli-ahli KEADILAN melompat, berada di tempat yang
agak tercorot, hanya memperolehi sokongan 5.08% (lebih rendah peratusannya
berbanding parti MUDA pimpinan Ahli Parlimen Muar yang memperolehi 5.32%).
Secara kaveat, saya berwaspada iaitu kaji selidik atau survey
hanyalah suatu kaji selidik atau survey. Belum tentu jadi fakta dan
realiti sebenar nanti dalam PRU 15. Tetapi sekurang-kurangnya, bagi para
penyokong KEADILAN boleh menarik nafas lega, iaitu jangan risau dengan fenomena
bekas Ahli-ahli Parlimen KEADILAN yang melompat kerana mengejar mirage atau
fatamorgana, atau takut dengan bayang-bayang sendiri dengan mimpi negeri
dikejar SPRM atau bunyi siren polis serta tembok batu dan jeriji besi di
Penjara Sungai Buloh yang menanti.
Antara belantan dan lobak
Dalam keadaan di mana ahli-ahli politik pembangkang sekarang,
khususnya KEADILAN berdepan dengan polisi mafia, belantan dan lobak di dunia
gelap seperti dalam filem Godfather yang mengamalkan ancaman (stick/belantan)
dan pujukan (carrot/lobak), maka saya teringat kepada sejarah diri
peribadi yang dilalui sendiri oleh Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim yang
berbelas tahun masuk penjara.
Secara jujur saya menghormati Anwar Ibrahim dalam aspek ini. Dia
tidak gentar dengan ancaman. Dia tidak boleh dibeli dengan tawaran kedudukan
atau jawatan. Apabila difitnah, dia melawan. Dia melawan sehabis-habisnya di
mahkamah undang-undang, sama ada di mahkamah jenayah atau mahkamah sivil. Dia
melawan dengan penuh azam dan semangat juang seperti semangat yang ditunjukkan
oleh hero dalam novel Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer, sasterwan
terkenal Indonesia.
Ketika bekas Ahli-ahli Parlimen dari KEADILAN yang cuba
menyelamatkan diri masing-masing dari pertuduhan dan penjara berebut-rebut
terjun ke laut bergelora meninggalkan bahtera tetapi Anwar Ibrahim sebagai
pemimpin KEADILAN, PH dan Pembangkang tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau
kini masih bertarung di mahkamah undang-undang perlembagaan untuk
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen Malaysia. Kepada pemimpin
seperti inilah sokongan akan diberi oleh rakyat Malaysia dalam PRU-15 nanti.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang