Penyokong Dr Mahathir cadang formula kerjasama dengan PH
Buat pertama kalinya kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan formula kerjasama mereka dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.
Kumpulan penyokong Dr Mahathir yang memperkenalkan mereka sebagai ‘The Third Force bloc’ atau Pasukan Ketiga mahu bertanding 98 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang dan mencadangkan Pakatan Harapan bertanding 124 kerusi.
Dalam satu tulisan yang dibuat oleh penyokong kuat mereka, Raggie Jessy Rithaudeen, The Third Force dianggotai oleh Pejuang akan bertanding 50 kerusi, Warisan (23) dan lain-lain (25).
Kerusi-kerusi itu adalah kerusi yang telah dimenangi oleh Pejuang dan Warisan sekarang serta sejumlah kerusi yang lain.
Tulisan itu mencadangkan, PKR bertanding 50 kerusi, DAP (42) dan AMANAH (32).
Cadangan ini bertujuan untuk mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru, kata tulisan itu lagi.
“Semua pihak akan bertemu selepas pilihan raya umum untuk menentukan siapakah yang patut menjadi perdana menteri,” cadang tulisan itu.
Tulisan ini mengandaikan, Bersatu, Umno dan Pas serta rakan-rakan mereka akan bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan tidak akan bertembung antara satu sama lain.
Ini adalah cadangan yang pertama datang dari kumpulan Tun Dr Mahathir untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam pilihan raya umum akan datang selepas berpecah dengan Pakatan Harapan.
Dr Mahathir masih menjadi faktor dalam pilihan raya di Malaysia.
Yang menjadi isu juga adalah apakah Umno akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya nanti kerana kedua-duanya merebut kerusi yang sama.
Dalam mesyuarat bahagian-bahagian Umno awal Januari lepas, 147 dari 222 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.
Namun begitu, Umno sedang dipujuk oleh Pas terutamanya bahawa tanpa kerjasama dengan Bersatu dan Pas, mereka akan kalah.
Jika Umno bertegas dengan keputusannya tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, akan terbentuk tiga blok utama dalam pilihan raya umum akan datang.
Perikatan Nasional (PN) di mana Bersatu akan bersama dengan Pas dan rakan-rakannya termasuk Gerakan yang baru menyertai mereka.
Barisan Nasional yang terdiri dari Umno, MIC dan MCA.
Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan AMANAH yang bekerjasama dengan kumpulan The Third Force pimpinan Dr Mahathir.