CUKUP-CUKUPLAH MENIPU, RAKYAT TOLAK PRU, TOLAK DARURAT, RAKYAT MAHU MUHYIDDIN UNDUR SEGERA
Jangan terlalu banyak menipu istana. Sejak dari awal ambil kuasa
melalui pengkhianatan, jumlah yang dibawa kononnya menyokong dia jadi PM tebuk
atap itu pun dipertikai. Kali ini, bila ternyata sokongan sudah semakin
merundum, rakyat menjerit minta dia turun segera, Anwar pula telah bawa bukti
jumlah sokongan kepadanya ke Istana, dan Muhyiddin takut untuk bawa jumlah yang
menyokongnya, maka jalan terakhir adalah untuk memperkudakan undang-undang darurat.
Tiada negara yang buat langkah bodoh ini kecuali negara Yahudi,
Israel, atas alasan yang sama tetapi mahu kekalkan kuasa. Memalukan, setiap hari
tampil baca doa dalam bahasa melayu, tetapi perangai siapa yang diikutinya?
Semoga Raja-Raja Melayu tidak mudah diperalatkan oleh orang
politik yang khianat serta kemaruk kuasa ini. Rakyat tolak PRU dalam suasana
Covid, rakyat tolak darurat yang tidak releven dan lebih menyusahkan, rakyat
mahu hak mereka dikembalikan. Proses untuk peralihan kuasa yang telah dimohon
oleh DSAI harus diteruskan bagi menyelamatkan negara ini.
WFAUZDIN NS
MUHYIDDIN JADI HILANG PUNCA BILA ‘PULANG KOSONG’ SELEPAS MENGADAP AGONG?
Sesuatu yang Muhyiddin Yassin langsung tidak jangka ialah beliau dan rombongannya terpaksa “pulang kosong” selepas mengadap Agong semalam.
Diberitakan, jangkaan beliau ialah cadangannya berkenaan perisytiharan darurat itu akan dipersetujui Agong tanpa banyak soal kerana ia telah diperakui oleh kabinet.
Lebih daripada itu, dalam majlis mengadap semalam juga, Muhyiddin turut membawa sama beberapa menteri dan pegawai tinggi kerajaan bersamanya.
Dengan itu, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi cadangan itu akan diterima Agong, seterusnya dapat memberi nafas kepada hayat politiknya untuk bertahan lebih lama.
Tetapi, apabila Agong meminta masa untuk memperhalusi cadangan tersebut, malah akan memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja terlebih dahulu bagi membincangkannya, ia menyebabkan Muhyiddin jadi hilang punca.
Sebab itu, difahamkan sebaik pulang ke Kuala Lumpur selepas mengadap Agong, sementara suara bantahan terhadap cadangan darurat itu makin meluas, Muhyiddin tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
Beliau tidak menjangka sama sekali keadaan itu akan berlaku kerana apa ada dalam fikirannya ialah selepas mendapat persetujuan Agong itu, bellau akan terus membuat pengumuman rasmi berkaitan darurat dengan asas paling kukuh dalam penampilan dan hujahnya ialah persetujuan Istana Negara telah diperolehi.
Disebabkan tidak bersedia dengan keadaan tak dijangka itu, Muhyiddin dan lain-lain menteri, kecuali Annuar Musa, semua yang lain dilihat tidak mampu lagi menampilkan hujah melawan mereka yang memprotes darurat yang dicadangkannya itu.
Tidak kurang mereka yang berada di kem Muhyiddin melihat kebijaksanaan Agong menangguhkan persetujuan baginda berkaitan cadangan darurat itu sebagai suatu petanda yang tidak baik.
Ada yang berkata, jika Agong setuju, baginda pasti memberi persetujuan segera pada petang semalam juga.
Tetapi, dengan menangguhkan keputusan dan mahu berbincang dengan Majlis Raja-Raja terlebih dulu, harapan untuk darurat dipersetujui terlihat mula kabur.
Yang paling pasti, kiranya persetujuan daripada Agong diperolehi petang semalam, tentulah Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin yang paling awal tampil bersuara mempertahankan kewajaran darurat dikuatkuasakan.
Meskipun akal yang waras tidak dapat menemui jawapan yang logik di mana kaitannya antara melawan Covid19 dengan penggantungan Parlimen, tetapi jika persetujuan Agong telah diperolehi, Muhyiddin dan semua menteri kabinet yang menjadi pengampu kuatnya pasti akan melakukan apa saja untuk mempertahankannya.
Begitu juga dengan pimpinan Bersatu, mereka turut tidak mampu tampil melawan hujah-hujah yang menolak darurat lantaran langsung tidak bersedia ke arah itu.
Yang mereka tahu, cadangan itu akan dipersetujui Agong dan mereka akan beramai-ramai menyokongnya setelah Muhyiddin membuat pengumuman.
Beberapa pemimpin Bersatu dilaporkan bertanya sesama sendiri apa yang perlu dilakukan dalam situasi sekarang ini.
Meskipun dikatakan ada yang mahu tampil dan mengeluarkan kenyataan melalui media sosial, tetapi melihat protes yang begitu ketara, ada yang jadi kecut dibuatnya.
Terdapat juga pemimpin Bersatu yang menasihatkan rakan-rakan mereka, jika tidak tahu apa yang sepatutnya mahu dipertahankan, maka lebih baik berdiam diri saja.
Esok Majlis Raja-Raja dilaporkan akan bermesyuarat membincangkan cadangan darurat tersebut dan sementara itu, protes serta suara di kalangan rakyat Malaysia yang menolak cadangan darurat boleh dikata menjangkau lebih 90 peratus jumlahnya.
Rakyat yang tidak bersetuju dengan darurat, rata-ratanya bukan saja tidak menemui jawapan tentang kaitan antara Covid19 dengan penggantungan Parlimen, malah juga hairan mengapa Sabah yang tinggi kes setiap hari tidak diisytiharkan darurat lebih dulu?
Harapan rakyat cuma satu iaitu agar mesyuarat Majlis Raja-Raja esok ada jawapan yang mampu meredakan kekalutan ini, sambil menunjukkan jalan yang sebaiknya kepada pemimpin yang enggan menerima hakikat bahawa mereka sudah hilang sokongan majoriti.
(Shahbudindotcom 24/10/2020)
JOM MENGUNDI. SILA MASUK KE LINK YANG DISEDIAKAN DI BAWAH
SAYA TELAH MENGUNDI DENGAN TIDAK MENYOKONG PEMBUBARAN PARLIMEN DAN ANWAR IBRAHIM DILANTIK SEBAGAI PERDANA MENTERI.ANDA PULA BAGAIMANA?
RAKYAT MALAYSIA BERSUARA
Agong harapan terakhir rakyat untuk elak pengumuman darurat PM
Pada oleh Lim Guan Eng
Kenyataan Akhbar Oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Di Kuala Lumpur Pada 24.10.2020
Yang Di-Pertuan Agong Adalah Harapan Terakhir Rakyat Untuk Mengelakkan Pengumuman Darurat Yang Tidak Wajar Oleh Perdana Menteri Untuk Menyelamatkan Dirinya Dengan Mengorbankan Demokrasi Berparlimen, Ekonomi Negara Dan Rakyat
Rakyat Malaysia terkejut dengan cubaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong terhadap perisytiharan darurat dengan dalih palsu untuk menangani penularan gelombang ketiga Covid-19 yang semakin meningkat. Adakah Kementerian Kesihatan dan barisan hadapan kita sudah tidak mampu mengawal keadaan tersebut sehingga darurat seluruh negara diperlukan? Malah golongan profesional perubatan kita telah menyatakan bahawa langkah-langkah semasa seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sudah memadai dan pada masa yang sama membantu mengurangkan kesan buruk terhadap keadaan ekonomi rakyat.
Perkara ini jelas tiada kaitan dengan Covid-19 ketika laporan daripada “The Star” yang dimiliki oleh MCA secara terbuka mengakui bahawa pengisytiharan darurat adalah untuk mengelakkan Belanjawan 2021 dikalahkan dan menghentikan seketika “aktiviti politik”. The Star menulis bahawa Belanjawan 2021 akan dibentangkan kepada kabinet, dan dapat diluluskan tanpa undian daripada semua 222 Ahli Parlimen (APs), kerana Parlimen sudah tidak berfungsi dalam keadaan darurat. Kesan darurat adalah ia akan memusatkan kuasa kepada Perdana Menteri dengan mengorbankan Parlimen, merosakkan ekonomi dan menyebabkan kehilangan keyakinan yang teruk.
Apa yang jelas, Tan Sri Muhyiddin telah hilang majoriti di Parlimen dan dia tidak mempunyai keyakinan untuk memenangi undian Belanjawan di Parlimen. Bahkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengakui bahawa pelaksanaan kuasa darurat adalah untuk mengelakkan pilihan raya, yang secara tidak langsung mengakui “rancangan besar” untuk melindungi kedudukan mereka yang berkuasa.
Sekiranya Tan Sri Muhyiddin serius ingin mengatasi krisis kesihatan Covid-19, dia harus meletakkan jawatan kerana kelemahannya untuk tidak melaksanakan kuarantin penuh di rumah kepada mereka yang kembali dari Sabah berikutan pilihan raya umum Sabah. Sebaliknya, beliau dan Perikatan Nasional telah memilih untuk meruntuhkan demokrasi berparlimen dengan cubaan perisytiharan darurat untuk mengorbankan rakyat dan ekonomi negara demi menyelamatkan dirinya dan mengekalkan kekuasaan dengan apa cara sekalipun.
Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah hari ini bahawa baginda akan berunding dengan Raja-Raja Melayu lain sebelum memutuskan pemberian kuasa darurat. Yang Di-Pertuan Agong adalah harapan terakhir rakyat untuk mengelakkan pengumuman darurat yang tidak wajar oleh Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya dengan mengorbankan rakyat, demokrasi berparlimen dan ekonomi negara. Rakyat Malaysia memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar.
MUJUR KUASA DARURAT MASIH DI TANGAN AGONG
Mujur kuasa darurat masih di tangan Agong
Kuasa untuk isytihar darurat terletak pada YDPA dan ini yang cuba di pinda oleh Najib dengan kenalkan Akta MKN yang mana Perdana Menteri boleh isytihar darurat tanpa kebenaran YDPA.
PH telah betulkan balik kerosakan yang BN buat dengan tarik balik RUU tersebut tapi ramai yang lupa PN cuba introduce balik pada bulan Ogos. Maknanya mereka sudah lama tahu yang kerajaan PN ini akan tumbang dan tak stabil, jadi dia cuba pinda akta MKN yang PH dah tarik balik untuk bagi kuasa mutlak pada Perdana Menteri.
Sebab mereka tak cukup masa untuk gubal dan belanjawan 2021 dah dekat, mereka terdesak guna alasan Covid untuk isytihar darurat. Yang duk kata ini “Darurat Politik” semuanya palatao; bagi saya satu line dalam perlembagaan negara yang ada sebut darurat politik.
Darurat is darurat; akan ada impak pada ekonomi, hilang kepercayaan pelabur antarabangsa even pasaran saham dah pun riaksi secara negatif tadi. Dengan darurat, kuasa eksekutif akan jadi mutlak, kira macam kita ada supreme leader.
Sekadang ini semua tertunggu pada wewenang YPDA. Kalau jadi darurat maknanya kita tahulah kenapa pintu gol asyik kena kalih walaupun bola sudah berada di petak penalti beberapa kali.
Moga Allah selamatkan kita semua dari PBkianat..
DARURAT, PN DAH TAK MAMPU, MASA SERAH KEPADA ANWAR
Darurat, PN dah tak mampu, masa serah kepada Anwar
Oleh: Pentadbir
Ipohmali
Berita yang tersebar sejak tengahhari tadi tentang Pengisytiharan Dharurat.. tidaklah mengejutkan aku.. Dah dijangka..Aku dah tulis secara jelas pada 15 Oktober lepas UMNO dan PN akan ikut jejak Tun Razak..
Andai betul Muhyidin nak Isytihar Dharurat.. permohonan Dharurat itulah gambaran kerajaan sebenarnya PN dan kerajaan tebuk atap ini sebagai kerajaan yang gagal..Bagi aku, Ini adalah hak dan kuasa yang benar diberikan kepada YDP Agong untuk buat keputusan..
sewajarkan Keputusan paling tepat.. YDP Agong serahkan kembali kepada Parlimen untuk tentukan siapa yang layak jadi PM dan ketuai Negara..biar majoriti ahli dewan rakyat memilih..
Dharurat yang dipohon PM tebuk atap, hanya akan merosakkan Negara, tidak ada kaitan dengan Covid-19 melainkan PM Tebuk atap mahu kekal mempertahankan kuasa..
Rakyat sedang memerhati.. 🙂
Tolak darurat, tolak Muhyiddin tolak Azmin- AMK Gombak
Angkatan Muda Keadilan (AMK)
Gombak menempelak tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan konco utamanya Azmin Ali yang mempergunakan darurat untuk terus kekal
berkuasa.
Ketua AMK Gombak, Arie
Yudistira Ishaq berkata pengisytiharan darurat atas alasan bagi pencegahan
penularan Covid-19 tidak boleh diterima sama sekali kerana tidak ada satu pun
negara di dunia yang menggunakan darurat bagi menangani Covid-19.
"Ternyata cubaan
menggunakan darurat bukan untuk selamatkan rakyat dan negara daripada Covid-19
tetapi digunakan untuk selamatkan kerusi dan kedudukan 70 orang Menteri dan
Timbalan Menteri.
"AMK Gombak mendesak Tan
Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas
kegagalan menguruskan bencana Covid-19 dan beliau merupakan punca utama
penularan Covid-19 khususnya di negeri Sabah.
"Kerakusan dan kegelojohan
PN merampas kuasa di Negeri Sabah menjadi punca utama wabak Covid-19 semakin
terus menular.
"Justeru, kami AMK Gombak
memohon Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan Perdana Menteri bagi
pelaksanaan darurat dan kami berharap Agong menasihatkan Muhyiddin agar beliau
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera," katanya.
Arie juga menyeru rakyat supaya
bangkit menolak pelaksanan darurat tersebut.
"AMK Gombak mengajak
seluruh warga Malaysia yang merdeka untuk menzahirkan secara terbuka penolakan
dan bantahan kita semua terhadap cubaan menggunakan darurat bagi menutup mulut
rakyat ini dengan menggunakan hashtag #TolakDarurat, #MuhyiddinOut dan #TolakPengkhianat.
"Semoga Allah memelihara
Malaysia ini daripada bencana Covid-19 dan sama-sama kita bermunajat dan berdoa
agar Covid-19 ini dimusnahkan sepenuhnya daripada bumi ini," katanya.
DARURAT UNTUK PERTAHANKAN KARIER POLITIK MUHYIDDIN?
Darurat untuk pertahankan karier politik Muhyiddin?
Oleh: Redzuan RF8 Media
Darurat merupakan langkah khusus dalam menangani isu keselamatan negara, bukannya tindakan undang-undang untuk memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak tumbang secara demokrasi.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengecam langkah yang diambil pentadbiran Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin semalam mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar memperkenankan perisytiharan darurat di seluruh negara.
Katanya, kali terakhir darurat diisytihar ke seluruh negara adalah selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Menurut Shamsul, sebaliknya keadaan politik Malaysia hari ini belum sampai ke tahap huru-hara dan memerlukan tentera campurtangan dalam urusan keselamatan.
“KEADILAN terkejut dengan laporan berita mesyuarat khas kabinet kerajaan PN pagi semalam yang mencadangkan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan ‘darurat pentadbiran’ ke seluruh negara.
“KEADILAN berpendapat alasan untuk memerangi Covid-19 tidak boleh digunapakai untuk mewajarkan darurat. Tambahan lagi, negara-negara yang mengalami kes aktif yang lebih tinggi masih mampu menangani wabak itu tanpa mengenakan perintah darurat.
“Darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul yang dijadualkan pada persidangan bermula 2 November 2020 ini tidak akan berlaku, ini termasuklah usul ‘Undi Tidak Percaya’ yang perlu dihadapi oleh PM Muhyiddin. Bahkan sekiranya kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baharu boleh dilantik.
“Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelak kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian? KEADILAN menentang sikap bacul pentadbiran Muhyiddin ini yang menggunakan darurat bagi mengelakkan kerajaan tumbang secara sah dan demokratik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Shamsul mengingatkan Muhyididn bahawa fikiran cetek dan sikap melulu beliau hanya akan merosakkan pasaran kewangan negara dan menyebabkan pelabur asing meninggalkan Malaysia berikutan keadaan yang tidak stabil.
Katanya, ekonomi Malaysia yang telah menguncup -17% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku kedua 2020 pasti akan terjerumus ke jurang kemelesetan sekiranya langkah yang salah diambil pemerintah.
“KEADILAN menegaskan Kerajaan PN tidak wajar memperjudikan ekonomi 32 juta rakyat Malaysia hanya kerana PN takut kehilangan kuasa.
“Bukankah Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi telah pun mengisytiharkan sokongan Umno kepada PN. Mengapakah PM Muhyiddin begitu takut dengan Datuk Seri Anwar walaupun setelah memperolehi sokongan parti Umno dalam kerajaan?
“KEADILAN berpendapat wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan SOP yang ketat disamping akta-akta sedia ada. Pemerintahan darurat tidak akan menjadikan pentadbiran Malaysia lebih baik sebaliknya hanya akan menjadikan Malaysia setaraf negara Afrika yang bergolak dan ditadbir oleh seorang diktator.
“Sesungguhnya Malaysia tidak perlu darurat hanya kerana karier politik Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN yang berada dalam keadaan genting, meruncing lagi darurat!” katanya.
Semalam spekulasi bertiup kencang dekri darurat akan diisytihar pada tengah malam selepas Muhyiddin mengadap Agong di istana Pahang pada sebelah petang. Namun mesyuarat selama dua jam itu tidak diketahui keputusannya sehingga ke hari ini.
PH BANTAH DARURAT
PH bantah darurat
Oleh: Redzuan RF8 Media
FacebookEmail
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PN) membantah perisytiharan ‘darurat’ di seluruh negara dengan menyifatkannya sebagai tidak perlu memandangkan undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani wabak Covid-19.
Tidak lama selepas perkara itu didedahkan, pemimpin pembangkang mendakwa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin cuba menggunakan darurat untuk menggantung parlimen dan mengelakkan pilihan raya.
Langkah berkenaan diambil di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19 dan tekanan politik yang dihadapi perdana menteri dari luar dan dalam.
Di laman Twitter, bekas menteri kesihatan dan Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad berkata, perisytiharan darurat tidak perlu untuk mengatasi wabak tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat (DAP), M Kulasegaran berkata di negara-negara yang mencatatkan kes Covid-19 yang jauh lebih tinggi tidak memerlukan mereka mengisytiharkan darurat.
Anggota Parlimen Bakri DAP, Yeo Bee Yin pula berkata, penggunaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sudah cukup untuk mengawal wabak tersebut.
Yeo juga mempersoalkan apakah perdana menteri menggunakan darurat untuk terus kekal berkuasa.
Sementara itu Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi juga mempersoalkan apakah perisytiharan darurat adalah untuk memastikan kerajaan Perikatan Nasional kekal berkuasa dan mengelakkan Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Senator DAP Liew Chin Tong pula mengingatkan kerajaan untuk tidak ‘menggunakan jalan pintas’ dalam demokrasi kerana ini akan memberi kesan negatif kepada negara.
Anggota Parlimen Tanjong Malim (PKR), Chang Lih Kang juga mengingatkan bahawa perisytiharan darurat akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi.
Setakat jam 5 petang tadi, perkataan “darurat” menjadi topik trending di Twitter Malaysia.
Ungkapan “Muhyiddin Out” yang bermaksud penolakan terhadap perdana menteri, juga menjadi trending di twitter.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
“Wabak (Covid-19) semakin serius dan ketua negara (YPD Agong) akan memutuskan apakah akan mengiytiharkan darurat,” tulisnya dalam bahasa Mandarin di Facebook.
MUHYIDDIN SEPATUTNYA LETAK JAWATAN SEBELUM MAJLIS RAJA RAJA MEMBUAT KEPUTUSAN.MELANTIK PM YANG BARU ADALAH TERBAIK BUAT NEGARA
Kekalutan dalam negara sekarang ini sehingga tercetusnya idea jahat mahu mengisytiharkan darurat semata-mata untuk mengekalkan kuasa harus dilihat daripada dua sudut yang berbeza.
Sudut pertama, semua yang berlaku ini adalah rentetan perbuatan Tun Mahathir Mohamad yang bersikap khianat dan enggan akur kepada janji peralihan kuasa.
Jika sejak awal beliau bersikap jujur, ikhlas, berpegang kepada janji dan tiada secebis perasaan khianat kepada Anwar Ibrahim yang bersikap lulur dan sedia memaafkannya sebelum PRU14 dulu, apa yang berlaku hari ini pasti tidak terjadi.
Dengan menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar, bukan saja kekalutan politik tidak berlaku, malah PH akan kekal berdiri tegak sebagai kerajaan sehingga hari ini.
Tetapi, kerana ada khianat kepada janji, maka lahirlah sebuah kerajaan lain yang ditubuhkan melalui pengkhianatan sehingga Muhyiddin Yassin sendiri sanggup bersikap khianat kepada Tun Mahathir.
Sudut yang kedua, semua ini berpunca daripada sikap Muhyiddin yang enggan menerima realiti dirinya yang tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.
Dalam negara demokrasi, tiang serinya ialah sokongan majoriti di mana pihak yang memiliki banyak undi akan dikira menang, manakala yang kurang dikira kalah.
Sejak awal lagi, Muhyiddin gagal membuktikan sokongan majoriti yang dimilikinya dan sentiasa mengelak untuk undi tidak percaya dibawa terhadapnya.
Sepatutnya, menyedari dirinya semakin dipertikaikan, Muhyiddin harus bersikap terbuka membenarkan undi tidak percaya terhadapnya agar sebarang pertikaian mengenai keabsahannya dapat ditamatkan.
Tetapi, oleh kerana undi tidak percaya tidak diberi ruang, beliau kini cuba ditolak melalui penolakan terhadap Belanjawan 2021.
Lantaran sedar beliau mungkin tidak lepas dalam pengundian itu, khususnya kerana pemberontakan menolaknya makin melebar dalam PN sendiri, maka untuk menyelamatkan diri dan takut dijatuhkan, timbullah idea jahat mahu mengisytiharkan darurat.
Cuba Muhyiddin ada kejantanan sejati dan sedia berdepan realiti, sama ada usul tidak percaya atau pengundian Belanjawan 2021, sudah tentu idea mahu melaksanakan darurat tidak berbangkit sama sekali.
Hakikatnya, yang darurat dan mabuk kuasa ialah Muhyiddin dan orang-orang sekelilingnya yang takut hilang jawatan dan takut masuk penjara atas perlakuan yang tidak pernah kabur di mata rakyat.
Rakyat sama sekali tidak darurat, namun cuba didaruratkan oleh Muhyiddin yang sedang darurat ketika ini.
Maka, untuk mengatasi kekalutan dalam negara yang mungkin bertambah panas sementara menunggu Majlis Raja-Raja bermesyuarat untuk menimbang dan mengambil keputusan yang bijaksana, punca segala masalah ini hendaklah dibuang terlebih dahulu.
Muhyiddin kini tiada pilihan lagi, beliau harus meletak jawatan segera, sebaik-baiknya sebelum Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuaratnya pada minggu depan.
Muhyiddin bukan saja tiada lagi sokongan majoriti yang telah diperlihatkan melalui cadangannya sendiri mahu mengisytiharkan darurat, malah beliau juga tidak dipercayai rakyat untuk terus mentadbir negara ini.
Kepercayaan dan keyakinan rakyat telah terhakis terhadapnya kerana Muhyiddin dianggap tidak bersikap demokratik dalam amalan demokrasi negara di mana cuba melakukan tindakan ke arah diktator demi untuk terus kekal berkuasa.
Sebelum kemarahan rakyat lebih meluap-luap, berundur lebih awal adalah sebaik-baik pilihan baginya.
Dengan Muhyiddin meletakkan jawatannya, bukan saja Majlis Raja-Raja tiada keperluan lagi membincangkan sama ada perlu kepada darurat atau sebaliknya, tetapi melaluinya juga akan memberi lebih kebebasan dan keselesaan kepada Majlis Raja-Raja terhadap pilihan terbaik iaitu melantik Perdana Menteri baru yang dipercayai memiliki sokongan majoriti. (Shahbudindotcom 24/10/2020)
KDYMM YDPA DIYAKINI BIJAK MEMBUAT KEPUTUSAN SELESAI KEMELUT POLITIK
Kenyataan Media
24 hb Oktober 2020
KDYMM YDPA DIYAKINI BIJAK MEMBUAT KEPUTUSAN SELESAI KEMELUT POLITIK
Kami mengambil perhatian terhadap perkembangan politik tanah air terkini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin kelmarin selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri , mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah , untuk mencadangkan YDPA mengisytiharkan darurat.
Dalam keadaan yang tidak jelas , apakah alasan yang diketengahkan itu cukup kuat untuk darurat diisytiharkan, kami tetap menyakini YDPA mempunyai kebijaksanaan untuk menolak atau menerima cadangan tersebut.
Kami sangat yakin atas kebijaksanaan YDPA untuk membuat keputusan yang mempunyai implikasi besar dari segi undang-undang dan perjalanan serta uruskelola kerajaan dan negara.
Sesungguhnya YDPA pasti memikirkan semasak-masaknya untuk mengisytihar darurat atau menolak cadangan dalam keadaan rakyat sedang berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang sangat meruncing.
Kami percaya sebuah kerajaan yang kukuh akan memungkinkan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi dapat dikendalikan dengan baik.
Kami juga meyakini bahawa YDPA akan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat bukan sahaja untuk generasi masakini malah juga untuk generasi mendatang.
Mengisytiharkan darurat bukan suatu yang mudah untuk dipertimbangkan kerana implikasinya sangat besar.
Penggantungan Parlimen atas nama darurat belum tentu menyelesaikan kemelut politik sedia ada. Apa yang menjadi tonggak penting untuk menstabilkan keadaan ialah keyakinan dan mandat rakyat kepada kerajaan.
Kami yakin kebijaksanaan YDPA pasti mampu memberi penyelesaian yang terbaik merentas kepentingan politik kepartian.
Kami berpendirian sementara isu pandemik Covid-19 perlu diteliti dengan halusi, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengantung fungsi parlimen.
Perbahasan dikalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sangat penting bagi mencari jalan keluar kepada isu Covid-19 berlandaskan undang-undang sekaligus mengurus keperluan kehidupan rakyat.
Sebelum ini keputusan tidak menjalankan perbahasan parlimen untuk meluluskan pakej stimulus ekonomi menangani
Covid-19 telah diambil. Dalam keadaan sekarang ia tidak sepatutnya diulangi. Walaupun alasan tindakan sertamerta perlu diambil, akan tetapi keputusan yang besar lebih sempurna jika perbincangan terbuka diadakan untuk mencari kesepakatan di Parlimen.
Cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh pihak kerajaan dan semua parti politik dalam demokrasi sedia ada harus berlandaskan lunas undang-undang dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Akibat ekonomi negara terjejas oleh Covid-19 yang memberi kesan yang sangat berat kepada rakyat bawahan, darurat, jika dihalusi, mencetuskan ketidaktentuan bukan sahaja kepada pentadbiran negara malah kepada ekonomi negara.
Walaupun mengekang wabak Covid-19 wajar diberi keutamaan oleh semua parti politik, mewajarkan darurat bakal merumitkan keadaan jika wakil rakyat tidak dapat berfungsi di Dewan Rakyat.
YDPA dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Permaisuri telah menunjukkan ciri-ciri merakyat yang sangat dikagumi. Kedua-duanya sangat mengambil berat kepada nasib rajyat.
Kami yakin sudah tentu dalam mempertimbangkan keputusan yang besar seperti darurat yang memberi kesan kepada rakyat secara langsung , YDPA akan menimbangkan keputusan dengan perbincangan secara terperinci termasuk mendapat pandangan bersama Raja-raja Melayu.
Kami percaya lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan akan pasti dijadi pertimbangan utama agar fungsi semua institusi utama negara seperti Dewan Rakyat tidak terjejas.
Sistem Raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen adalah kerangka pemerintahan yang penting dipertahankan.
Dengan yang demikian kami menyarankan agar tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mengeskploitasi keadaan untuk menekan YDPA.
Kami yakin YDPA akan membuat keputusan yang bijak untuk memastikan mandat rakyat dihormati dan fungsi institusi Dewan Rakyat berjalan lancar.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.
Darurat tidak demokratik, PN guna Covid-19 untuk kekal berkuasa - Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyifatkan hasrat kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan darurat
adalah tidak demokratik dan isu peningkatan kes wabak Covid-19 dipergunakan
untuk terus berkuasa.
Malah, Presiden KEADILAN itu
bimbang bahawa langkah darurat tersebut adalah sekadar untuk menyekat proses
perbahasan di Parlimen.
"Hari ini kita sedang
menyaksikan babak sejarah yang tidak pernah berlaku sebelumnya yakni mempunyai
sebuah kerajaan yang bergelut dengan persoalan keabsahan, dan sedang
menggunakan wabak Covid-19 yang memungkin penyalahgunaan kuasa.
"Darurat diisytihar
apabila ada ancaman terhadap keselamatan negara tetapi apabila kerajaan sendiri
adalah sumber ancaman itu, keadaan darurat tidak lebih dari pemerintahan
diktator dan autoritarianisme.
"Saya menggesa Tan Sri
Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu
keputusan yang pendek akal dan pentingkan diri," katanya dalam satu
kenyataan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen
Port Dickson berpendapat langkah darurat menonjolkan kelemahan kerajaan PN
dalam menangani wabak Covid-19 dan keupayaan memulihkan ekonomi negara.
"Dengan langkah ini, maka
kerajaan PN yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka
dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.
"Negara-negara di rantau
ini sedang memikirkan pelbagai cara menangani wabak dan benarkan aktiviti
ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak kebelakang.
"Kita masih belum
mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang
terpamer adalah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak
adalah dengan melemahkan demokrasi.
"Apa yang kita perlukan
dalam mendepani wabak Covid-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar
yang jelas oleh pelbagai kementerian. Pemerintah telah gagal menonjolkan
kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang
mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa," katanya.
Cadangan pelaksanaan darurat tersebar
di media massa sejak berakhirnya mesyuarat khas kabinet Muhyiddin di Putrajaya
tengah hari tadi.
Spekulasi bertiup kencang apabila
kenderaan rasmi PM dilihat memasuki Istana Abdulaziz di Kuantan petang tadi
dalam misi yang dianggap pemerhati politik untuk memohon perkenan Yang
di-Pertuan Agong mengisytihar darurat pemerintahan dalam waktu terdekat.
Rombongan Muhyiddin dilaporkan turut diiringi kenderaan rasmi
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang.
Jangan guna darurat elak bentang Belanjawan di Parlimen - Hassan Karim
Cadangan
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytihar darurat dan menggantung
Parlimen dalam keadaan aman merupakan langkah yang tidak bertanggungjawab serta
merosakkan sistem demokrasi Malaysia.
Ahli
Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, cadangan perisytiharan
darurat dengan alasan membendung pandemik Covid 19 adalah tidak masuk akal sama
sekali.
Katanya,
terdapat kemungkinan alasan lain yang disembunyikan iaitu pemimpin PN khuatir
dimalukan dalam sesi pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
"Saya
melihat cadangan untuk melaksanakan darurat bagi menangani penularan Covid-19
adalah dangkal dan tidak meyakinkan rakyat. Alasan sebenar darurat dilaksanakan
ialah supaya Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin dapat
mengelak membentangkan Belanjawan Negara pada 6 November 2020 dan meghadapi
ahli-ahli Dewan Rakyat pada 17 November depan, sama ada akan melulus atau
menolak Belanjawan 2021 tersebut.
"Sekiranya
Belanjawan itu ditolak maka bererti Tan Sri Muhyiddin dan kerajaannya hilang
majoriti kepercayaan dari Ahli-ahli Parlimen. Natijahnya Muhyiddin secara
konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana
Menteri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut
Hassan lagi, darurat bukanlah jalan keluar mudah kepada masalah yang
membabitkan Perlembagaan atau krisis di Dewan Rakyat.
Seharusnya,
kerajaan PN meneroka cara lain yang tidak memusnahkan keyakinan pelabur dan
pasaran kewangan dalam senario politik yang dihadapi mereka.
"PM
Muhyiddin tidak wajar secara melulu mendapatkan perkenan Yang diPertuan Agong
untuk Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat di Malaysia. Dalam keadaan
genting ini perlu dirujuk apa yang disebut dalam Perkara 150 Perlembagaan
Persekutuan.
"Perkara
150 (1), Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar
sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau
ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam,
maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan
membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.
"Darurat
besar yang dimaksudkan itu disebut 3 perkara. Pertama keselamatan; kedua
kehidupan ekonomi dan ketiga ketenteraman awam.
"Penularan
Covid-19 tidak termasuk dalam kategori tersebut. Begitu juga, pergolakan
politik kepartian bukan sejenis darurat keselamatan.
"Begitu
juga undi tidak percaya yang menunggu Muhyiddin di Dewan Rakyat yang akan
bersidang bermula 2 November depan bukan sejenis darurat keselamatan atau
ketenteraman awam.
"Malah
risiko Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan jika tidak diluluskan oleh
Ahli-ahli Parlimen bukanlah satu ancaman kehidupan ekonomi yang memerlukan satu
proklamsi darurat diisytiharkan," katanya.
Justeru,
Hassan menyeru PM Muhyiddin lebih waras dan matang berfikir dalam kemelut
politik semasa serta bersikap sebagai demokrat tulen yang mempertahankan sistem
demokrasi berparlimen
"Saya
berharap PM Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan juga PM
yang berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan institusi
Parlimen supaya tidak tersilap langkah membawa negara ke ambang kediktatoran
dengan mematikan suara Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat di dalam
Pilihanraya Umum ke-14 lalu.
"Jika
Muhyiddin sudah kehilangan sokongan Ahli-ahli Parlimen dan majoriti di Dewan
Rakyat, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan segera, bukannya
mengisytiharkan darurat untuk terus berkuasa," katanya lagi.
Darurat
meluas dispekulasikan apabila Muhyiddin bergegas mengadap Yang di-Pertuan Agong
petang semalam selepas selesai mesyuarat khas kabinet.
Bagaimanapun,
pertemuan selama dua jam di istana Pahang itu tidak membuahkan sebarang
keputusan sebagaimana dijangkakan dan Muhyiddin tidak membuat pengumuman
penting pada malam tadi.