Cadangan
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytihar darurat dan menggantung
Parlimen dalam keadaan aman merupakan langkah yang tidak bertanggungjawab serta
merosakkan sistem demokrasi Malaysia.
Ahli
Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, cadangan perisytiharan
darurat dengan alasan membendung pandemik Covid 19 adalah tidak masuk akal sama
sekali.
Katanya,
terdapat kemungkinan alasan lain yang disembunyikan iaitu pemimpin PN khuatir
dimalukan dalam sesi pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
"Saya
melihat cadangan untuk melaksanakan darurat bagi menangani penularan Covid-19
adalah dangkal dan tidak meyakinkan rakyat. Alasan sebenar darurat dilaksanakan
ialah supaya Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin dapat
mengelak membentangkan Belanjawan Negara pada 6 November 2020 dan meghadapi
ahli-ahli Dewan Rakyat pada 17 November depan, sama ada akan melulus atau
menolak Belanjawan 2021 tersebut.
"Sekiranya
Belanjawan itu ditolak maka bererti Tan Sri Muhyiddin dan kerajaannya hilang
majoriti kepercayaan dari Ahli-ahli Parlimen. Natijahnya Muhyiddin secara
konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana
Menteri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut
Hassan lagi, darurat bukanlah jalan keluar mudah kepada masalah yang
membabitkan Perlembagaan atau krisis di Dewan Rakyat.
Seharusnya,
kerajaan PN meneroka cara lain yang tidak memusnahkan keyakinan pelabur dan
pasaran kewangan dalam senario politik yang dihadapi mereka.
"PM
Muhyiddin tidak wajar secara melulu mendapatkan perkenan Yang diPertuan Agong
untuk Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat di Malaysia. Dalam keadaan
genting ini perlu dirujuk apa yang disebut dalam Perkara 150 Perlembagaan
Persekutuan.
"Perkara
150 (1), Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar
sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau
ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam,
maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan
membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.
"Darurat
besar yang dimaksudkan itu disebut 3 perkara. Pertama keselamatan; kedua
kehidupan ekonomi dan ketiga ketenteraman awam.
"Penularan
Covid-19 tidak termasuk dalam kategori tersebut. Begitu juga, pergolakan
politik kepartian bukan sejenis darurat keselamatan.
"Begitu
juga undi tidak percaya yang menunggu Muhyiddin di Dewan Rakyat yang akan
bersidang bermula 2 November depan bukan sejenis darurat keselamatan atau
ketenteraman awam.
"Malah
risiko Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan jika tidak diluluskan oleh
Ahli-ahli Parlimen bukanlah satu ancaman kehidupan ekonomi yang memerlukan satu
proklamsi darurat diisytiharkan," katanya.
Justeru,
Hassan menyeru PM Muhyiddin lebih waras dan matang berfikir dalam kemelut
politik semasa serta bersikap sebagai demokrat tulen yang mempertahankan sistem
demokrasi berparlimen
"Saya
berharap PM Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan juga PM
yang berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan institusi
Parlimen supaya tidak tersilap langkah membawa negara ke ambang kediktatoran
dengan mematikan suara Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat di dalam
Pilihanraya Umum ke-14 lalu.
"Jika
Muhyiddin sudah kehilangan sokongan Ahli-ahli Parlimen dan majoriti di Dewan
Rakyat, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan segera, bukannya
mengisytiharkan darurat untuk terus berkuasa," katanya lagi.
Darurat
meluas dispekulasikan apabila Muhyiddin bergegas mengadap Yang di-Pertuan Agong
petang semalam selepas selesai mesyuarat khas kabinet.
Bagaimanapun,
pertemuan selama dua jam di istana Pahang itu tidak membuahkan sebarang
keputusan sebagaimana dijangkakan dan Muhyiddin tidak membuat pengumuman
penting pada malam tadi.