Agong harapan terakhir rakyat untuk elak pengumuman darurat PM

 

Kenyataan Akhbar Oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Di Kuala Lumpur Pada 24.10.2020

Yang Di-Pertuan Agong Adalah Harapan Terakhir Rakyat Untuk Mengelakkan Pengumuman Darurat Yang Tidak Wajar Oleh Perdana Menteri Untuk Menyelamatkan Dirinya Dengan Mengorbankan Demokrasi Berparlimen, Ekonomi Negara Dan Rakyat

Rakyat Malaysia terkejut dengan cubaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong terhadap perisytiharan darurat dengan dalih palsu untuk menangani penularan gelombang ketiga Covid-19 yang semakin meningkat. Adakah Kementerian Kesihatan dan barisan hadapan kita sudah tidak mampu mengawal keadaan tersebut sehingga darurat seluruh negara diperlukan? Malah golongan profesional perubatan kita telah menyatakan bahawa langkah-langkah semasa seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sudah memadai dan pada masa yang sama membantu mengurangkan kesan buruk terhadap keadaan ekonomi rakyat. 

Perkara ini jelas tiada kaitan dengan Covid-19 ketika laporan daripada “The Star” yang dimiliki oleh MCA secara terbuka mengakui bahawa pengisytiharan darurat adalah untuk mengelakkan Belanjawan 2021 dikalahkan dan menghentikan seketika “aktiviti politik”. The Star menulis bahawa Belanjawan 2021 akan dibentangkan kepada kabinet, dan dapat diluluskan tanpa undian daripada semua 222 Ahli Parlimen (APs), kerana Parlimen sudah tidak berfungsi dalam keadaan darurat. Kesan darurat adalah ia akan memusatkan kuasa kepada Perdana Menteri dengan mengorbankan Parlimen, merosakkan ekonomi dan menyebabkan kehilangan keyakinan yang teruk.

Apa yang jelas, Tan Sri Muhyiddin telah hilang majoriti di Parlimen dan dia tidak mempunyai keyakinan untuk memenangi undian Belanjawan di Parlimen. Bahkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengakui bahawa pelaksanaan kuasa darurat adalah untuk mengelakkan pilihan raya, yang secara tidak langsung mengakui “rancangan besar” untuk melindungi kedudukan mereka yang berkuasa.

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin serius ingin mengatasi krisis kesihatan Covid-19, dia harus meletakkan jawatan kerana kelemahannya untuk tidak melaksanakan kuarantin penuh di rumah kepada mereka yang kembali dari Sabah berikutan pilihan raya umum Sabah. Sebaliknya, beliau dan Perikatan Nasional telah memilih untuk meruntuhkan demokrasi berparlimen dengan cubaan perisytiharan darurat untuk mengorbankan rakyat dan ekonomi negara demi menyelamatkan dirinya dan mengekalkan kekuasaan dengan apa cara sekalipun.

Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah hari ini bahawa baginda akan berunding dengan Raja-Raja Melayu lain sebelum memutuskan pemberian kuasa darurat. Yang Di-Pertuan Agong adalah harapan terakhir rakyat untuk mengelakkan pengumuman darurat yang tidak wajar oleh Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya dengan mengorbankan rakyat, demokrasi berparlimen dan ekonomi negara. Rakyat Malaysia memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar.