Arjuna tersentak seketika. Busur di tangannya dipegang longlai. Matanya tertumpu ke sebelah sana, di kejauhan medan Kurukshetra; ke arah sanak saudara, sahabat handai yang bakal diperangi.
Hikayat Mahabharata bercerita tentang babak ini. Ketika Arjuna, kesatria Pandawa Lima berbalik-balik hati, menyedari bahawa yang perlu dibunuh nanti termasuklah Bisma, datuk saudaranya; selain ratusan sepupu sepapat dan rakan taulan.
Di persimpangan ini, Arjuna memohon nasihat Krishna; yang dipilihnya menjadi kusir pedati kuda perang.
Perbualan antara Krishna dan Arjuna ini membuahkan Baghavad Gita, kitab falsafah Hindu yang masyhur. Dalam perbualan panjang ini, Krishna menasihati Arjuna agar tidak patah hati, kerana perang Kurukshetra adalah persoalan melawan kezaliman. Adalah menjadi tanggungjawab Arjuna untuk menumpaskan sesiapa sahaja yang menyokong kezaliman itu.
Latar perang Kurukshetra ini berakar dari sebuah permainan dadu, antara keluarga Korawa dan Pandawa. Perjudian ini berakhir dengan kemenangan secara menipu oleh Duryodhana, yang memaksa pupunya para Pandawa menyerahkan seluruh jajahan takluknya kepada para Korawa, serta hidup dalam buangan selama tiga belas tahun.
Sepatutnya selepas tempoh itu, kuasa dikembalikan kepada para Pandawa. Tetapi Duryodhana enggan melakukannya, dan menegaskan bahawa tiada persetujuan pernah dicapai untuk memulihkan kuasa dan kedudukan para Pandawa.
Bunyi macam nak sama dengan yang sedang kita hadapi di Malaysia. Kan? Ya, tak banyak beza kerana manusia memang cenderung mengulangi kesilapan leluhur terdahulu. Tak kisah lah kalau perang Kurukshetra ini sekadar cerita rekaan sekalipun. Fitrah insani selalunya begini: Mabuk dengan kuasa, cemburu kepada yang lainnya, dan cenderung korup kerana sikap tamak haloba. Tentunya di setiap generasi pun ada seekor dua dengan fitrah kejahatan yang sama.
Azmin Ali
Pada tahun 2010, Azmin Ali digambarkan sebagai Arjuna parti Keadilan. Dalam pemilihan parti pada tahun itu, Azmin bertanding jawatan Timbalan Presiden, menentang Zaid Ibrahim. Pencalonannya malah disokong mantan timbalan presiden parti itu, Dr Syed Husin Ali.
Azmin jadi Arjuna kerana kem beliau ketika itu adalah kem yang melawan kem calon-calon wahyu yang mendapat perkenan Ketua Umum parti ketika itu, kini presiden. Zaid digambarkan sebagai orang luar yang tiba-tiba masuk parti dan mahu terus ke puncak kuasa; maka Zaid perlu dihalang. Begitu juga dengan yang ikut menyokong Zaid.
Zaid akhirnya tewas, dan sang Arjuna menang melawan anak Ibrahim yang pertama.
Kemenangan Azmin ke atas anak Ibrahim yang kedua hadir selepas Langkah Kajang, langkah politik paling kalut dalam sejarah barangkali. Mulanya hendak mengganti Tan Sri Khalid Ibrahim, yang ketika itu Menteri Besar Selangor; dengan tiada lain, Anwar Ibrahim sendiri.
Langkah dibuka, Anwar Ibrahim pun masuk penjara. Tempatnya diganti Datuk Seri Dr Wan Azizah, namun kerusi MB tidak dapat diduduki meski menang di Kajang. Selepas bergelut beberapa lama, Azmin dinobat Menteri Besar Selangor setelah sekali lagi berperang sesama rakan taulan dan sanak saudara parti Keadilan.
Anak Ibrahim yang ketiga
Anwar Ibrahim telah dijanjikan jawatan menteri perdana, bagi mengikat gabungan ‘united front’ Pakatan Harapan, dengan bertautnya kembali hubungan yang telah lama terputus antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kedua-duanya digambar bersama dalam satu bingkai, seperti Hang Tuah dan Bendahara Melaka, bagi membuang si Jebat durhaka.
Setelah rejim Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor tumbang pada 9 Mei 2018, Anwar diberi Pengampunan Diraja, dibenar kembali aktif berpolitik, hatta bertanding dan menang di Port Dickson dalam satu lagi langkah untuk mendekatkan Anwar ke kerusi Perdana Menteri.
Tetapi ramai yang tidak setuju sebenarnya. Terutamanya Azmin Ali. Ada lah tu, apa-apa benda yang beliau tidak puas hati.
Pada suku ketiga tahun 2018, sudah ada kempen di media sosial supaya DAP dibuang daripada Pakatan Harapan. Alasan yang diberi adalah kerana DAP ini memberi banyak masalah kepada kerajaan. Sebab yang sebenarnya ialah kerana DAP punyai 42 kerusi, dan semua taat kepada perjanjian untuk menjadikan Anwar Ibrahim Perdana Menteri.
Masuk 2019, kacau bilau berterusan. Dan semuanya seakan salah DAP. Panjanglah senarainya, tidak perlu diulangi. Pada bulan Ogos, isu-isu tulisan jawi, Lynas, Zakir Naik; antara lain dijadikan tajuk utama berita; selain persoalan berulang ‘Tun, bila nak bagi Anwar jadi perdana menteri?’
Oktober 2019, cubaan dilakukan untuk membuang DAP untuk digantikan dengan gerombolan diketuai Hishammuddin Hussein. Panjang juga tulisannya disiarkan akhbar New Straits Times; setelah berlangsungnya Kongres Maruah Melayu. Muka depan NST memaparkan gambar bendera-bendera parti yang mahu bermuafakat itu. DAP pastinya tiada.
Sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2020, berlaku tangkapan simpatisan LTTE; majoritinya terkait DAP. Kemudian diikuti PRK Tanjung Piai; di mana calon parti kerajaan kalah terlungkup, meski kempennya dahsyat. Habis goyang semuanya.
Semua ini, pastinya tidak terjadi dengan sengaja. Bahkan disusun baik supaya Anwar Ibrahim tidak menjadi menteri perdana. Dan akhirnya itulah yang terjadi.
Isnin, 24 Februari; Azmin Ali, Arjuna parti Keadilan, mengumumkan keluar parti. Bekas setiausaha politik Anwar ini, disokong demikian ramai mantan teman-teman Anwar Ibrahim; termasuklah bekas setiausaha akhbarnya, Khalid Jaafar; Datuk Kamaruddin Jaafar (bukan saudara mara Khalid Jaafar) yang taat bersama Anwar sejak zaman Abim dan Yayasan Anda; Datuk Saifuddin Abdullah, juga seorang pemuka besar PKPIM; serta ramai rakan-rakan Kolej Melayu Kuala Kangsar yang sejak zaman-berzaman taat setia bersama Pak Syeikh itu.
Percaturan keluar masuk pelbagai pintu pun berlaku, dan satu minggu lalu, Azmin Ali dilantik menganggotai kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri kanan yang berhak mempengerusi mesyuarat kabinet ketika ketiadaan Perdana Menteri.
Budak tak sekolah pun tahu, tanpa perlu disebut; Azmin Ali adalah timbalan yang tidak dilantik. Umno pun bergoncang menggeletar tidak puas hati. Tapi lantak lah. Azmin Ali telah menewaskan anak Ibrahim yang satu lagi.
Rahmat sebuah kudeta
Pun begitu; Azmin Ali tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kerajaan yang dianggotainya kini adalah sebuah kerajaan yang tidak demoktratik, tanpa mandat pilihanraya. Ya, masing-masing menang, dan kemudian menukar kesetiaan lalu membentuk kerajaan, dan itu tidak bersalahan Perlembagaan. Namun secara moral, seluruh negara dapat melihat bahawa ia adalah satu rampasan kuasa yang dilakukan dengan membelakangkan mandat rakyat. Apatah lagi sanggup bersekongkol dengan UMNO-PAS, dan menjaja perpaduan Melayu demi kepentingan politik sendiri.
Ya lah, asalkan tak ada Anwar Ibrahim dan DAP. Kan?
Tetapi rahmat di sebalik tragedi ini ialah ia akhirnya memperlihatkan batas sempadan kawan dan lawan. Yang khianat tidak akan boleh berpatah haluan. Yang dahulunya mencerca kerajaan Pakatan Harapan akhirnya menanggung rindu tak tertahan.
Barangkali struktur kerajaan Muhyiddin-Azmin ini lupa bagaimana UMNO dan PAS itu mahunya menjadi yang paling depan dan utama. Dan mereka lupa bagaimana PAS itu begitu tidak boleh diharap sebagai pentadbir negara.
Perang Kurukshetra memakan masa 18 hari lamanya. Perang politik Malaysia, sehingga hari ini masih berlanjutan. Epik kekuasaan yang harus dibukukan supaya generasi seribu tahun lagi akan mengambil pengajaran daripada laparnya manusia terhadap kuasa, dan bagaimana seorang Arjuna terpanah kakinya. – Roketkini.com
*Tulisan ini kali pertama disiarkan di The Malaysian Insight