Muhyiddin perlu profesional, kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik



Muhyiddin perlu profesional, kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik
Pemuda AMANAH Nasional kesal atas tindakan Putrajaya yang tidak memanggil Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri dari lima negeri Pakatan Harapan (PH) bagi menyelaraskan perintah kawalan pergerakan antara negeri yang diadakan semalam.
MB dan KM dari lima negeri tersebut merangkumi MB Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan KM dari Sabah dan Pulau Pinang yang tidak dilibatkan dalam mesyuarat khas Perdana Menteri bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.
Timbalan Pemudanya, Shazni Munir Ithnin, berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi asbab untuk tidak melibatkan negeri yang mencatat rekod positif jangkitan Covid-19 lebih tinggi.
“Jika hanya kerana pentadbiran kerajaan Negeri ini tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan daripada aspek politik, maka ianya adalah tindakan yang tidak profesional dan merugikan rakyat seluruhnya.
“Selangor merupakan negeri paling tinggi mencatatkan positif Covid-19 iaitu 144 kes.
“Manakala, Sabah merupakan antara negeri keempat tertinggi dengan jumlah 57 kes dilaporkan selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
“Namun, bagaimana Menteri Besar dan Ketua Menteri tidak dijemput menghadiri mesyuarat penting ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Shazni turut menegaskan, usaha kawalan wabak ini seharusnya merentasi sempadan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.
Menurutnya, jika tindakan kawalan berkenaan mengetepikan sebahagian negeri yang lain, maka pasti usaha tersebut akan menemui kegagalan.
Justeru beliau berkata, Putrajaya perlu bertindak segera dengan memanggil kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri demi kemaslahatan seluruh rakyat.